Piala Asia B-17: Thailand tutup harapan Malaysia ke suku akhir
Astro Arena
Jun 19, 2023 08:40 MYT
Jun 19, 2023 08:40 MYT
MALAYSIA 0 THAILAND 3
Harapan skuad B-17 negara untuk layak ke suku akhir Kejohanan Piala Asia B-17 2023 tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada pasukan tuan rumah, Thailand, dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Pathum Thani malam tadi.
Selepas tewas 0-4 kepada Yaman dalam aksi pembukaan pada Khamis lalu, skuad bimbingan Osmera Omaro itu tidak boleh kalah dalam aksi kali ini untuk muncul dua pasukan terbaik kumpulan itu bagi melayakkan diri ke suku akhir.
Bagaimanapun, kemusnahan awal mereka dapat digambarkan sebaik ketua pasukan Thailand, Pacharaphol Lekkun, meledakkan gol pembukaan tuan rumah dalam waktu kecederaan separuh masa pertama.
Skuad negara kemudian merencanakan beberapa gerakan berbahaya dalam usaha memburu gol penyamaan tetapi mereka sekali lagi dibolosi pada minit ke-54, kali ini hasil sentuhan berbisa Chanasorn Choklap.
Chanothai Kongmeng memastikan kemenangan selesa Thailand pada minit ke-78, sekali gus menamatkan pejuangan skuad negara dalam kempen kali.
Sebagai rekod, empat pasukan terbaik dalam kejohanan berkenaan akan layak secara automatik ke Piala Dunia B-17 pada November depan.
Malaysia seterusnya akan melengkapkan saingan Kumpulan A dengan berdepan satu lagi pasukan yang sudah tersingkir, Laos, pada Rabu depan.