Piala ASEAN: Tiket habis dijual, penyokong Singapura merungut venue kecil
Agensi
Disember 22, 2024 23:00 MYT
Disember 22, 2024 23:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kesemua tiket rumah untuk pertembungan separuh akhir Piala ASEAN antara Singapura menentang Vietnam habis dijual pada Ahad, enam jam selepas jualan bermula.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) memberi amaran terhadap penjual semula tiket, bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan pemilik tiket yang tidak sah.
Peminat mula beratur di Stadium Jalan Besar sejak pagi, malah ada yang menunggu semalaman.
Tiket dijual pada harga bermula dari S$24 (RM79) hingga S$49 (RM162), hanya boleh dibeli di stadium, satu langkah yang menurut FAS adalah untuk memastikan "agihan tiket yang adil" untuk penyokong.
Tiket habis dijual pada jam 6.30 petang.
Portal Channel News Asia melaporkan terdapat tiket perlawanan dijual di platform e-dagang Carousell. Kebanyakannya dijual dengan harga antara S$60 (RM199) hingga S$95 (RM315).
Perlawanan separuh akhir pertama akan diadakan di Stadium Jalan Besar yang mempunyai kapasiti 6,000 tempat duduk, Khamis ini.
Peminat sebelum ini menyatakan kekecewaan mereka kerana perlawanan berlangsung di stadium yang lebih kecil, dengan ramai berpendapat FAS sepatutnya mengambil langkah menempah Stadium Nasional lebih awal.
Pertukaran venue susulan perubahan jadual menyaksikan Stadium Nasional tidak dapat digunakan untuk perlawanan ini dan baki kejohanan, kerana telah ditempah untuk persembahan konsert.