Piala ASEAN: Pertemuan dengan Kemboja tidak mudah - Pau Marti
Bernama
Disember 7, 2024 19:30 MYT
Disember 7, 2024 19:30 MYT
PHNOM PENH: Ketua jurulatih pasukan bola sepak Malaysia Pau Marti Vicente sedar bahawa perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN 2024 mereka bertemu Kemboja bukanlah sesuatu yang mudah, kerana pasukan tuan rumah mempunyai pasukan yang seimbang dan berkualiti.
Skuad Harimau Malaya itu yang tiba di sini pada Jumaat telahpun berhadapan pelbagai masalah, dengan ketua jurulatihnya yang akan meninggalkan pasukan, dron yang terbang di padang latihan mereka dan pasukan Kemboja yang kuat.
"Kami berhadapan beberapa isu, dengan dron terbang di atas padang latihan kami... ia sesuatu yang mengganggu dan mengecewakan.
"Ia bukan satu perlawanan yang mudah menentang Kemboja, terutamanya kita bermain di tempat lawan. Kemboja mempunyai sokongan yang bagus dan ramai pemain yang baik, termasuk tiga pemain naturalisasi. Mereka telah bermain dengan baik," kata Vicente pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Vicente berkata Kumpulan A yang turut disertai juara bertahan Thailand, Singapura dan Timor-Leste juga satu kumpulan yang sukar.
Kumpulan B pula terdiri daripada Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam.
Sementara itu pemain penyerang Syafiq Ahmad berkata pasukan negara dalam keadaan yang baik dan teruja untuk berhadapan dengan Kemboja.
"Kami pemain profesional, kami akan berikan yang terbaik untuk capai sesuatu pada kejohanan ini. Kami ambil satu langkah untuk setiap perlawanan dan berharap berjaya lepasinya dengan baik," kata Syafiq.
Sementara itu jurulatih Kemboja Koji Gyotoku berhati-hati dalam penilaiannya terhadap perlawanan esok, dan menyatakan bahawa Malaysia bukanlah satu pasukan yang mudah untuk diatasi
"Kami berhadapan pasukan lawan yang kuat. Malaysia satu pasukan yang bagus dan sedang lakukan dengan baik. Terdapat banyak permintaan daripada peminat kami dan kami akan cuba dapatkan keputusan yang diminta," katanya.
Kali terakhir Malaysia menjuarai kejohanan itu pada 2010, ketika di bawah format lama (Piala AFF).
-- BERNAMA