Piala Agong: Putrajaya cipta sejarah rangkul gelaran sulung
Bernama
Disember 3, 2022 21:25 MYT
Disember 3, 2022 21:25 MYT
PETALING JAYA: Pasukan Putrajaya melakar sejarah apabila meraih gelaran sulung Kejohanan Ragbi Piala Agong dengan menundukkan juara bertahan Terengganu 18-15, pada perlawanan akhir edisi ke-38 di Stadium Ragbi Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.
Putrajaya yang jelas mendominasi perlawanan seawal minit pertama, mendahului Terengganu 6-0 menerusi tendangan penalti Simione Tuivanuavou Bulai, masing-masing pada minit ke-14 dan ke-25 sebelum menutup aksi babak pertama dengan keputusan 13-5.
Aksi babak kedua pula menyaksikan pasukan pantai timur yang mengasak kubu Putrajaya, di peringkat awal berjaya merapatkan jurang 13-12 menerusi try oleh Noor Alif Ikhmal Noor Hisham disusuli conversion Muhammad Faris Pead pada minit ke-48.
Tendangan penalti diambil Muhammad Faris selang enam minit kemudian menepati sasaran, untuk meletakkan Terengganu di depan buat kali pertama, 15-13.
Tersentak dengan kedudukan itu, usaha Putrajaya yang terus 'menekan' Terengganu membuahkan hasil apabila try dilakukan Badrul Muktee pada minit ke-71 meletakkan mereka kembali di depan, 18-15, sekali gus mengesahkan mahkota kejuaraan milik skuad kendalian bekas pemain All Blacks, Brad Mika.
Sementara itu, tonggak utama Putrajaya K. Dinesvaran, gembira dapat kembali mencatat kejayaan di Piala Agong selepas kali terakhir menikmatinya pada 2008 ketika bersama Kedah.
Beliau yang disunting Putrajaya bagi kejohanan kali ini selepas beraksi dalam saingan Japan Top League bersama Hino Red Dolphins, tidak menyangka dapat mencipta keserasian bersama rakan pasukan dalam masa singkat sehingga berjaya membantu mereka bergelar juara Piala Agong.
Sementara itu Mika mendedikasikan kejayaan pasukannya kepada pengurusan Ragbi Putrjaya terutamanya Presidennya Shahir Sidek, atas sokongan terbaik sepanjang pertandingan itu.
Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan hadir menyaksikan perlawanan akhir, turut menyampaikan hadiah kepada Putrajaya dan Terengganu.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) muncul pasukan ketiga terbaik kejohanan selepas menang tipis, 35-34, ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
-- BERNAMA