Piala AFF: Thailand pasukan pertama mara ke separuh akhir
Bernama
Disember 14, 2021 21:31 MYT
Disember 14, 2021 21:31 MYT
KUALA LUMPUR: Juara lima kali, Thailand muncul pasukan pertama melangkah ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 selepas menewaskan Filipina 2-1 pada aksi Kumpulan A di Stadium Nasional Singapura, hari ini.
Ia kemenangan ketiga skuad bimbingan Alexandre Polking selepas menumpaskan Timor Leste 2-0 dan Myanmar 4-0 sekali gus mengumpul sembilan mata di kedudukan teratas menjelang pertembungan aksi terakhir bagi menentukan juara kumpulan menentang Singapura, Sabtu ini.
Pada aksi hari ini, penyerang prolifik Teerasil Dangda menjadi wira kejayaan skuad Gajah Perang mara ke peringkat separuh akhir buat kali kelima berturut-turut sejak edisi 2012 selepas meledak dua gol masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua.
Jaringan pertama penyerang BG Pathum United berusia 33 tahun itu menerusi rembatan voli kaki kiri pada minit ke-26 meletakkan Thailand di hadapan dan mendahului hingga separuh masa sebelum Filipina bangkit menyamakan kedudukan menerusi Patrick Reichelt pada minit ke-57.
Dangda yang merupakan penjaring terbanyak Piala AFF edisi 2012 dan 2016 kemudian tenang menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Filipina yang beraksi untuk Kuala Lumpur City FC, Kevin Ray Mendoza pada minit ke-78 untuk mengesahkan kemenangan Thailand.
Thailand muncul juara sulung Piala AFF pada 1996 sebelum meraih empat lagi gelaran pada edisi 2000, 2002, 2014 dan 2016.
Dalam pada itu, dua gol dijaringkan Dangda berdepan Filipina membolehkan beliau merekodkan 19 gol untuk bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman Kejuaraan Piala AFF apabila mengatasi bekas pemain Singapura Mohd Noh Alam Shah yang mengumpul 17 gol.
Sementara itu, Singapura turut mara ke pusingan kalah mati selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas Timor Leste sekali gus menamatkan penantian sembilan tahun beraksi di separuh akhir sejak menjuarai Kejuaraan Piala AFF pada 2012.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak dapat melonjakkan Singapura ke kedudukan teratas Kumpulan A mengatasi Thailand apabila hanya dipisahkan satu perbezaan jaringan di kedudukan kedua setelah kedua-dua pasukan berkongsi sembilan mata selepas mengharungi tiga perlawanan tanpa kalah.
Pada aksi di venue sama yang dijalankan pada sebelah malam, dua gol Singapura dijaringkan Adam Swandi seawal minit keempat dan Muhammad Shakir Hamzah pada minit ke-70 untuk melengkapkan malam bersejarah skuad bimbingan Tatsuma Yoshida itu.
Kekalahan kepada Singapura menyaksikan Timor Leste menamatkan kempen kejuaraan itu tanpa sebarang kemenangan dalam keseluruhan empat aksi kumpulan.
-- BERNAMA