Piala AFF: Thailand hampiri kejuaraan kali keenam
Bernama
Disember 29, 2021 00:32 MYT
Disember 29, 2021 00:32 MYT
KUALA LUMPUR: Thailand berada di landasan terbaik untuk melakar sejarah tersendiri selepas mengatasi Indonesia 4-0 pada perlawanan akhir pertama Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020, malam ini.
Thailand satu-satunya negara yang muncul juara sebanyak lima kali sekali gus menjadikan skuad Gajah Perang itu sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah Kejuaraan Piala AFF.
Pada aksi di Stadium Nasional Singapura, ketua pasukan Chanathip Songkrasin mempamerkan permainan berkelas tinggi dengan meledak dua gol masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua.
Chanathip meletakkan skuad bimbingan Alexandre Polking di hadapan seawal minit kedua berpunca daripada gerakan berpasukan yang menarik dari sebelah kanan sebelum beliau melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol Nadeo Argawinata.
Indonesia yang sesekali melancarkan serangan berbahaya mempunyai peluang keemasan menyamakan kedudukan namun Alfeandra Dewangga yang tidak dikawal dalam kotak penalti mensia-siakan peluang terhidang yang menyaksikan rembatannya dari jarak dekat melambung tinggi.
Keputusan 1-0 kekal berpihak kepada Thailand hingga separuh masa sebelum mereka kembali pada babak kedua dengan aksi lebih bertenaga apabila hanya memerlukan tujuh minit selepas rehat untuk menggandakan kedudukan menerusi gerakan menarik yang disudahkan oleh Chanathip pada minit ke-52.
Thailand terus menguasai padang dan kekal dengan tempo permainan pantas sebelum Supachok Sarachart berjaya meledak gol ketiga pasukan pada minit ke-67 hasil rembatan padu dari luar kotak penalti.
Situasi semakin parah buat Indonesia yang memburu kejuaraan sulung mereka pada kejohanan dwitahunan itu selepas dibolosi buat kali keempat yang menyaksikan Bordin Phala pula mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-83.
Keputusan itu menyaksikan Indonesia berdepan tugas getir pada perlawanan akhir kedua di venue sama Ahad ini manakala Thailand hanya selangkah untuk meraih gelaran juara buat kali keenam.
Thailand muncul juara sulung Piala AFF pada 1996 sebelum meraih empat lagi gelaran pada edisi 2000, 2002, 2014 dan 2016.
-- BERNAMA