Piala AFF Suzuki: Harimau Malaya tewas 0-3 kepada Vietnam
Faris Danial Razi
Disember 12, 2021 22:35 MYT
Disember 12, 2021 22:35 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya tewas 3-0 kepada Vietnam dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan B Piala AFF Suzuki di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.
Walaupun menurunkan barisan yang sama ketika menewaskan Laos 4-0 sebelum ini, anak didik Tan Cheng Hoe dilihat masih sukar menandingi barisan pemain berpengalaman Vietnam.
Vietnam mendahului perlawanan dengan jaringan gol pembukaan Nguyen Quang Hai pada minit ke-31, diikuti dengan gol kedua oleh Nguyen Chong Phuong pada minit ke-36.
Juara bertahan itu menambah satu lagi jaringan pada minit ke-88 hasil rembatan Hoang Duc untuk menutup perlawanan dengan kemenangan selesa.
Kekalahan itu juga bermakna hasrat Malaysia mara ke separuh akhir lebih awal tidak kesampaian.
Misi skuad negara diteruskan dengan perlawanan menentang Indonesia pada 19 Disember (Ahad) dalam peringkat kumpulan.