Piala AFF: Skuad Harimau Malaya sedia hadapi aksi hidup mati bertemu Indonesia

Bernama
Disember 18, 2021 19:14 MYT
Tan Cheng Hoe berkata, keseluruhan pasukan termasuk barisan jurulatih menyedari betapa pentingnya perlawanan itu. - Bernama
KUALA LUMPUR: Faktor tekanan tidak menggugat semangat Malaysia yang berdepan misi 'hidup mati' bertemu Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Stadium Nasional Singapura, esok.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe berkata, harapan diletakkan ke atas pasukannya untuk meraih tiga mata berdepan skuad Garuda itu bukan satu tekanan yang tidak mampu diatasi barisan pemain negara sepanjang 90 minit perlawanan.
Menurut pengendali berusia 53 tahun itu, keseluruhan pasukan termasuk barisan jurulatih menyedari betapa pentingnya perlawanan itu dan hanya kemenangan akan memastikan Malaysia melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.
"Menentang Indonesia esok adalah satu lagi perlawanan yang sangat penting. Kami tahu kami tidak mendapat keputusan yang baik menentang Vietnam, jadi menentang Indonesia, kami sudah belajar daripada perlawanan sebelumnya dan bersedia untuk pertembungan esok," kata Cheng Hoe pada sidang media praperlawanan secara maya di Singapura, hari ini.
"...yang penting saya rasa pemain dan barisan jurulatih negara tak rasa itu (lawan Indonesia) satu tekanan yang tak boleh kita serap. Setiap hari adalah hari yang kita inginkan cabaran untuk jadi motivasi kita nak lalui pelbagai tekanan (mendatang)," kata beliau.
Cheng Hoe pada masa sama berkata kunci utama bagi skuad bimbingannya meraih kejayaan adalah dengan memfokuskan kepada cara permainan pasukan berbanding taktikal digunakan pihak lawan.
Beliau turut mengharapkan jentera serangan pasukan negara mampu tampil lebih efektif dengan memanfaatkan setiap peluang di hadapan gawang lawan bagi meledak jaringan.
"Situasi perlawanan kali ini agak berlainan kerana di bawah jurulatih baharu Indonesia bawa pemain berbeza. Kita kena tekankan kepada cara permainan kita dan harap kerja serta semangat berpasukan dapat bagi kejayaan," katanya sambil mengharapkan pasukan dapat menjaringkan gol awal pada aksi itu.
Sementara itu, Cheng Hoe belum memutuskan sama ada penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin atau pemain naturalisasi Guilherme De Paula akan diberi mandat mengetuai jentera serangan pasukan negara pada aksi esok.
Selain dua pertahanan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Mohd Saad, Cheng Hoe mengesahkan kesemua pemain negara bersedia untuk diturunkan esok termasuk kedua-dua pemain sayap Muhammad Faisal Abdul Halim dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid.
Selepas tiga perlawanan kumpulan, Malaysia kini mengumpul enam mata di kedudukan ketiga di belakang pendahulu Indonesia dan Vietnam yang berkongsi tujuh mata di kedudukan dua teratas.
Situasi itu menyaksikan Indonesia hanya memerlukan keputusan seri bertemu Malaysia untuk melangkah ke separuh akhir sementara Vietnam yang dijadual bertemu Kemboja pada aksi terakhir dijangka tidak berdepan kesukaran mengutip tiga mata untuk turut mara ke pusingan kalah mati.
-- BERNAMA
#Piala AFF #Malaysia #Indonesia #Tan Cheng Hoe
;