Piala AFF: Singapura mara ke final
Astro Awani
Disember 13, 2012 08:08 MYT
Disember 13, 2012 08:08 MYT
Juara tiga kali Singapura mara ke perlawanan akhir Piala AFF selepas menundukkan Filipina 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam.
Terikat tanpa jaringan pada pertemuan pertama di Manila, kedua-dua pasukan turun memburu kemenangan untuk melangkah ke aksi akhir.
Namun beraksi di laman sendiri nyata jadi kelebihan buat skuad Singa apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi Khairul Amri pada minit ke 19.
Beberapa minit kemudian, Khairul sekali lagi berpeluang menambah jaringan namun digagalkan penjaga gol Filipina Eduard Sacapano.
Menuju rehat, skuad Azkals dihampakan menerusi ketumpulan penyudah penyerang kelahiran England Phillip Younghusband.
Masuk babak kedua, tempo permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling mengasak bagi memburu jaringan.
Bagaimanapun, kedudukan 1-0 kekal memihak tuan rumah sehingga ke wisel penamat sekaligus mengesahkan kemaraan Singapura ke pentas final buat kali pertama sejak 2007.
Singapura akan menentang Malaysia atau Thailand yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir di Bangkok malam ini.