Piala AFF: Safawi harap tuah kali ketiga
Bernama
Disember 20, 2022 07:00 MYT
Disember 20, 2022 07:00 MYT
KETUA pasukan Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid, berharap dapat tuah kali ketiga apabila membimbing pasukan negara ke medan pertempuran dalam saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dan menamatkan penantian 12 tahun negara untuk mencapai kejayaan.
Malaysia, yang memenangi Piala pada 2010 sebelum muncul naib juara pada 2014 dan 2018, juga menduduki tempat kedua terbaik dalam pertemuan sulung pada 1996 dengan tewas 1-0 kepada Thailand di final.
Tetapi Safawi dan rakan-rakan, berharap untuk menjadi lebih baik kali ini, berkata: "Menjadi juara adalah hasrat semua pemain, kakitangan kejurulatihan dan pegawai pasukan."
"Ini adalah penampilan ketiga saya dalam Piala AFF, tahun ini kita semua mempunyai misi besar di hadapan - untuk menjulang trofi!
"Biar apa pun berlaku, kami mesti memberikan yang terbaik dan cuba membawa pulang trofi," katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Thuwunna, di sini hari ini, menjelang aksi pembukaan Kumpulan B, menentang Myanmar esok (Rabu).
Pemain digeruni Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, yang bakal menyertai Ratchaburi FC Thailand secara pinjaman musim depan, juga cepat meredakan kebimbangan bahawa skuad Harimau Malaya kali ini kurang mantap.
"Kami mempunyai semangat berpasukan yang baik dan percaya boleh melakukannya," katanya.
Selepas Myanmar, Malaysia akan pulang untuk menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Dis, diikuti dua perlawanan penting - menentang Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan Singapura (3 Jan) di Bukit Jalil.
-- BERNAMA