Piala AFF: Penyokong bersemangat, kehangatan perlawanan Malaysia-Thailand makin terasa
Fareez Azman
Januari 7, 2023 18:57 MYT
Januari 7, 2023 18:57 MYT
KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dibanjiri ribuan penyokong Harimau Malaya seawal jam 3 petang Sabtu bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand malam ini.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati rata-rata penyokong kelihatan ceria dan bersemangat selain tidak henti-henti melaungkan sokongan terhadap Harimau Malaya.
Tepat jam 6 petang, penyokong Ultras Malaya berarak dan bersorak bermula dari Stesen LRT Bukit Jalil sehingga ke pintu masuk stadium.
Dijangka 59,000 penyokong Harimau Malaya akan memenuhi SNBJ malam ini, di sebalik sebanyak 21,000 kerusi di stadium itu terpaksa dikosongkan berikutan kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert berskala antarabangsa.
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon itu diramal berdepan tugas sukar dan perlu menggunakan segala kelebihan untuk mencipta kemenangan malam ini.
Tugas berat bakal digalas tonggak penyerang yang juga Kapten Harimau Malaya, Safawi Rasid dibantu Faisal Halim untuk meledakkan gol ke pintu gawang skuad Gajah Perang.
Pertahanan Harimau Malaya juga dilihat perlu lebih berhati-hati untuk menidakkan kemaraan skuad Gajah Perang terutamanya pemain sayap, Bordin Phala.
Sudah tentu, penyokong serta rakyat Malaysia ingin melihat memori kemenangan Piala AFF 2010 oleh Harimau Malaya berulang kembali pada edisi kali ini.