Piala AFF: Myanmar umum tarik diri, Malaysia raih kemenangan percuma
Astro Awani
Februari 15, 2022 15:51 MYT
Februari 15, 2022 15:51 MYT
KUALA LUMPUR: Petang ini pada jam 5.00 petang, skuad bola sepak bawah 23 tahun Malaysia dijadual berdepan pasukan Myanmar dalam saingan Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.
Begitupun, maklumat terbaharu dikongsi Astro Arena memaklumkan Myanmar terpaksa menarik diri pada saat akhir disebabkan ramai pemainnya dijangkiti COVID-19.
Situasi itu menyaksikan skuad negara memperoleh kemenangan percuma sekali gus tiga mata berjaya diraih Malaysia.
Begitupun, wartawan Astro Arena, Fina Nasrom menerusi ciapan di Twitter sebelum itu memberitahu penganjur sedang mempertimbangkan untuk menunda atau membatalkan terus kejohanan tersebut.
"Dua jam sebelum perlawanan skuad bawah 23 tahun negara terima perkhabaran hampir semua skuad Myanmar di jangkiti COVID-19.
"AFF sedang pertimbang sama ada Kejohanan AFF bawah 23 tahun akan ditunda atau dibatalkan terus," ciapnya pada Selasa.
Sebelum ini, juara bertahan Indonesia yang diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan negara sah menarik diri daripada kejohanan itu.
Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dalam kenyataan memaklumkan penarikan diri itu disebabkan tujuh pemain dan seorang pegawai pasukan disahkan positif COVID-19.
Selepas Indonesia menarik diri, skuad B-23 kebangsaan hanya akan menempuhi dua perlawanan kumpulan masing-masing menentang Myanmar pada 15 Februari dan Laos (18 Feb) di Stadium Prince.
Namun, khabar terbaharu ini menyaksikan Malaysia hanya akan berdepan Laos dan mengikut format kejohanan, hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir.
Sekiranya kejohanan diteruskan dan dalam keadaan Indonesia dan Myanmar menarik diri, slot ke separuh akhir nampaknya hampir pasti menjadi milik Malaysia sekiranya berjaya menumbangkan Laos kelak.