Piala AFF: Malaysia, Thailand seri 1-1 (Video)
Haresh Deol
Disember 9, 2012 00:37 MYT
Disember 9, 2012 00:37 MYT
Ketua jurulatih negara Datuk K.Rajagobal akui pasukannya akan menghadapi laluan sukar apabila menentang Thailand dalam perlawanan timbal balik separuh akhir Piala AFF di Bangkok Khamis ini.
Skuad Harimau Malaya sekadar seri 1-1 dengan pasukan Thailand pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. Malaysia kini memerlukan kelebihan satu gol di tempat lawan untuk mara ke perlawanan akhir.
“Ini merupakan persembahan terbaik kami sepanjang kejohanan ini,” kata Rajagobal.
“Saya benar-benar merasakan bahawa kita sepatutnya menang 3-1 tetapi saya berpuas hati dengan keputusan seri 1-1. Kita tidak bermain dengan beberapa tonggak utama namun masih dapat bermain dengan baik.”
“Saya akui perlawanan (separuh akhir kedua) di Thailand bukan mudah tetapi saya percaya akan kebolehan pemain saya. Ramai yang menyatakan bahawa kita akan kalah di laman sendiri tetapi ia tidak menjadi. Apa-apa boleh berlaku di Bangkok nanti,” katanya lagi.
Kedua-dua pasukan bermain dengan agak seimbang dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan tanpa jaringan di babak pertama perlawanan.
Malaysia kembali garang di babak kedua permainan dan ini membuahkan hasil apabila Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol pembukaan buat Malaysia pada minit ke 48. Akan tetapi, Thailand berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 78 melalui Teerasil Dangda.
Jurulatih Thailand Winfried Anton Schafer diarahkan keluar padang oleh pengadil Iran Torki Mohsen Ramezanali . Pengendali berbangsa Jerman itu tidak akan bersama pasukannya di perlawanan kedua menentang Malaysia nanti.
“Saya hanya bercakap dengan pemain saya dan tiba-tiba pengadil mengarahkan saya keluar padang. Saya tidak ingin bercakap lebih lagi,” kata Schafer.
“Kami (Thailand) tidak bermain dengan baik. Malaysia merupakan lawan yang kuat tetapi apabila mereka berjaya menjaringkan gol, kami mula bermain dengan lebih baik sehingga terhasilnya gol penyamaan.”