Piala AFF: Malaysia benam Singapura 4-1, mara ke separuh akhir
Astro Awani
Januari 3, 2023 22:32 MYT
Januari 3, 2023 22:32 MYT
KUALA LUMPUR: Harimau Malaya berjaya menewaskan Singapura 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B, Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan pasukan negara mara ke separuh akhir kejohanan berkenaan.
Skuad kendalian Kim Pan-gon yang turun dengan misi wajib menang, bermula garang pada separuh masa pertama perlawanan dengan mendominasi permainan, malah membuat beberapa percubaan berbahaya namun tidak menghasilkan sebarang gol.
Gol pembukaan hadir pada minit ke-35 apabila Darren Lok menanduk kemas hantaran lintang Safawi Rasid pada minit ke-35, menewaskan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny, sekali gus menggegarkan seluruh stadium dengan jeritan penyokong.
Enggan selesa, serangan bertali arus diatur Harimau Malaya sebaik masuk separuh masa kedua, dan gol kedua hadir pada minit ke-51 menerusi Stuart Wilkin yang merembat deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan Hassan.
Wilkin sekali lagi menghadiahkan gol ketiga untuk pasukan negara apabila merembat masuk hantaran Safawi pada minit ke-54.
Singapura yang tidak ingin mengalah akhirnya memperoleh gol pertama menerusi Faris Ramli pada minit ke-85.
Harimau Malaya bagaimanapun tidak memberi peluang dan sekali lagi memperoleh gol keempat melalui Sergio Aguero pada minit ke-88.
Pasukan negara akan berdepan Thailand di peringkat separuh akhir yang diadakan secara timbal balik pada 7 dan 10 Januari ini.
Satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan juara kumpulan B, Vietnam yang akan berhadapan naib juara kumpulan A, Indonesia.