Piala AFF: Lebih 61,000 hadir tonton Harimau Malaya di skrin besar pelbagai lokasi

Nickyson Nyambar
Januari 8, 2023 22:45 MYT
Antara penyokong Harimau Malaya yang hadir di lokasi-lokasi terpilih yang menyediakan skrin besar sempena perlawanan menentang Thailand pada Sabtu. - Gambar/ JBS
KUALA LUMPUR: Lebih 61,300 orang hadir di lokasi-lokasi terpilih yang menyediakan skrin besar sempena perlawanan antara pasukan negara menentang Thailand pada separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada Sabtu.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi perkongsian di Twitternya, jumlah itu menggambarkan bagaimana 'masalah' dapat ditukar menjadi satu pontensi untuk membangun di masa akan datang.
Beliau dipercayai merujuk kepada isu 21,000 tempat duduk Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan kerana dihalang oleh struktur pentas konsert artis antarabangsa yang dalam proses pemasangan.
"61,300 orang hadir di 16 lokasi big screen Kementerian Belia dan Sukan untuk mengikuti perlawanan Malaysia menentang Thailand.
"(KBS) berjaya menukar masalah menjadi satu potensi untuk membangun. Tahniah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Perpaduan Negara kerana bekerjasama dengan kita," katanya pada Ahad.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil keputusan untuk memasang 14 skrin besar melibatkan sembilan negeri termasuk Wilayah Persekutuan.
Dua skrin besar kemudian ditambah, menjadikan 16 lokasi secara keseluruhannya bersempena perlawanan Harimau Malaya menentang Thailand.
Antara lokasi yang terlibat adalah di Laman MBPJ, Petaling Jaya; Dataran Stadium Kajang; Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban, Pulau Pinang; Meow Garden, Ulu Kinta; Mydin Petrajaya, Kuching; serta Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Kehadiran penonton di Stadium Bukit Jalil, yang menjadi medan perlawanan antara Harimau Malaya dan pasukan Gajah Perang pula mencatatkan 62,989 penonton.
#Piala AFF #harimau Malaya #malaysia-thailand #Separuh Akhir
;