Piala AFF: Keputusan penalti kontroversi Ryuji Sato sekali lagi kecewakan Malaysia
Astro Arena
Disember 27, 2022 23:45 MYT
Disember 27, 2022 23:45 MYT
KEPUTUSAN pengadil perlawanan, Ryuji Sato, memberikan sepakan penalti dan kad merah yang penuh kontroversi meranapkan peluang Malaysia untuk menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam apabila tewas 3-0 di Stadium Kebangsaan My Dinh, sebentar tadi.
Malaysia menuju masuk ke perlawanan ketiga peringkat kumpulan B bertemu Vietnam mengumpul enam mata, susulan kemenangan ke atas Myanmar dan Laos sebelum ini.
Sementara Vietnam memburu kemenangan kedua apabila mengatasi Laos dengan kemenangan 6-0.
Skuad Kim Pan-gon menurunkan kesebelasan utama yang berbeza kali ini, Darren Lok serta Lee Tuck kembali memperkuatkan jentera serangan sementara Syihan Azmi bertindak sebagai penjaga gawang utama pasukan.
Malaysia berjaya merencanakan serangan di awal permainan, namun gagal menemui sentuhan penyudah untuk mendapatkan jaringan.
Tuan rumah berjaya membuka jaringan menerusi tandukan Nguyen Tien Linh pada minit ke-29 menewaskan Syihan.
Vietnam terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain apabila Nguyen Van Toan dilayangkan kad kuning kedua empat minit kemudian.
Kelebihan dimiliki Malaysia itu gagal digunakan sebaik mungkin apabila Vietnam tidak kelihatan seperti pasukan yang beraksi dengan 10 pemain dan turut berjaya mengasak kubu pertahanan negara dalam usaha untuk melebarkan kedudukan.
Situasi penuh kontroversi berlaku apabila Vietnam dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-60 berikutan pelanggaran melibatkan Azam Azmi Murad dan Doan Van Hau serta selepas perbincangan pengadil perlawanan, Ryuji Sato melayangkan pula kad merah kepada pertahanan negara itu dan Que Goc Hai memastikan Vietnam mendahului 2-0.
Ini bukanlah kali pertama pengadil tersebut menjadi dalang di sebalik kekalahan skuad negara, ia susulan tindakan Sato yang pernah mengadili perlawanan Piala Dunia Rusia 2018 itu menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam ketika aksi kempen kelayakan Piala Dunia berbaki 10 minit di di Stadium Al Maktoum, Dubai, tahun lalu sekali gus menyaksikan Malaysia tewas 1-2.
Malaysia terus dirundung malang apabila ketinggalan dengan tiga jaringan apabila sepakan sungkit Nguyen Hoang Duc bijak mengatasi Syihan.
Kekalahan ini ternyata mengecewakan Malaysia namun perjuangan harus diteruskan dalam aksi berikutnya bertemu Singapura 3 Januari nanti. - Stadium Astro