Piala AFF: KBS tambah lokasi skrin besar tonton aksi Thailand-Malaysia
Bernama
Januari 9, 2023 23:42 MYT
Januari 9, 2023 23:42 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menambah 11 lagi lokasi skrin besar bagi tayangan pertembungan separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 melibatkan Thailand dan Malaysia, malam esok.
Penambahan tersebut menjadikan sebanyak 25 lokasi di seluruh negara dipilih bagi menayangkan aksi timbal balik yang berlangsung di Stadium Thammasar, Pathum Thani, berbanding 14 lokasi pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lepas.
Antara lokasi skrin besar yang akan menayangkan aksi berkenaan termasuklah Dataran Merdeka di sini; Perkarangan Perbadanan Putrajaya, Presint 3 Putrajaya; Dataran Dato' Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis; Mydin Tunjong, Kota Bharu, Kelantan; Parking Premium UTC Kuala Terengganu, Terengganu dan Dewan Arena Bukit Kuda, Labuan
Pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam satu ciapan di laman Twitter, hari ini.
"Berita baik! Lokasi Big Screen @KBSMalaysia telah diperluaskan ke 25 lokasi untuk perlawanan Thailand vs Malaysia esok. Labuan pun ada. Tolong RT (retweet) dan enjoy!," katanya.
Harimau Malaya menang tipis 1-0 ke atas 'Gajah Perang' pada aksi separuh akhir pertama menerusi jaringan pemain sayap lincah, Mohamad Faisal Abdul Halim, pada minit ke-11.
Berikut merupakan senarai 25 lokasi skrin besar:
-- BERNAMA