Piala AFF: Ini rezeki, kata Syihan Hazmi selepas selamatkan sepakan penalti
Astro Arena
Disember 21, 2022 07:30 MYT
Disember 21, 2022 07:30 MYT
PENJAGA gol negara, Syihan Hazmi Mohamed, menganggap kejayaannya menamatkan sepakan penalti Myanmar sebagai rezeki.
Harimau Malaya membuka kempen Piala AFF 2022 dengan tiga mata selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Myanmar dalam perlawanan Kumpulan B di stadium Thuwunna semalam.
Faisal Halim menjaringkan gol tunggal skuad negara dalam babak kedua tetapi insiden bola terkena tangan Sharul Nazeem Zulpakar menyaksikan tuan rumah memperoleh sepakan penalti pada lewat permainan.
Bagaimanapun, Syihan Hazmi bertindak tangkas menafikan tendangan Win Naing Tun dalam waktu kecederaan, sekali gus memastikan Malaysia menamatkan badi tanpa kemenangan di gelanggang lawan itu.
Pemain berusia 26 tahun itu menganggap kejayaan berkenaan sebagai rezeki buatnya dan seluruh pasukan.
"Alhamdulillah, rezeki. Saya hanya memikirkan keluarga saya, semua jurulatih dan pemain lain yang telah memberikan 100 peratus.
"Saya memang mahu berikan segala yang saya ada, sama seperti pemain lain yang telah memberikan lebih daripada 100 peratus.
"Ia bukan hanya disebabkan saya, ia rezeki," katanya.