Piala AFF: Indonesia menang tipis, Filipina kembali bernafas
Bernama
Disember 23, 2022 06:00 MYT
Disember 23, 2022 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Naib juara edisi lepas, Indonesia memulakan kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dengan kemenangan tipis ke atas Kemboja 2-1, pada aksi Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada Jumaat.
Pemain sayap, Egy Maulana meletakkan Indonesia di depan pada minit kelapan menerusi sepakan kaki kiri, selepas menyambar hantaran lintang Pratama Arhan, namun Kemboja bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Saret Krya, selang tujuh minit kemudian.
Tersentak dengan jaringan lawan, tuan rumah yang meningkatkan tempo permainan kembali mendahului pelawat apabila Witan Sulaeman menolak masuk hantaran leret dari sebelah kanan oleh Marselino Ferdinan pada minit ke-35, sekali gus memberi kelebihan memihak kepada Indonesia menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, pasukan bimbingan Shin Tae-yong yang terus mengasak Kemboja, gagal menjelmakan beberapa peluang menambah jaringan termasuk percubaan tonggak serangan Dendy Sulistyawan yang dinafikan penjaga gol Kemboja Keo Soksela, pada minit ke-82 dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.
Sementara itu, Filipina bangkit daripada kekalahan mengejut 2-3 kepada Kemboja Rabu lepas (21 Dis), dengan membelasash Brunei 5-1 di Stadium Peringatan Rizal (Eng: Rizal Memorial Stadium) dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A.
Skuad The Azkals tidak menunggu lama untuk merobek gawang Brunei, apabila serangan balas tuan rumah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain sayap Kenshiro Daniels untuk gol pertama pasukannya pada minit ketujuh, manakala sepakan deras dari luar kotak penalti oleh Sandro Reyes menambah jaringan kedua Filipina selang lima minit kemudian.
Aksi di awal separuh masa kedua pula menyaksikan dua jaringan dalam tempoh seminit terus menggamatkan penyokong tuan rumah untuk mereka selesa di depan dengan empat jaringan tanpa balas.
Penyerang Jesus Melliza melepaskan rembatan padu dari dalam kotak penalti untuk meledak jaringan ketiga Filipina pada minit ke-50, diikuti giliran penyerang berusia 20 tahun yang dilahirkan di Aarhus, Denmark, Sebastian Rasmussen pula menggegar jaring pada minit ke-51.
Brunei kemudian memperoleh gol sagu hati menerusi Razimie Ramlli pada minit ke-70, yang juga jaringan pertama mereka pada kejohanan kali ini, selepas dibelasah 5-0 oleh juara bertahan Thailand Rabu lalu.
Sentuhan Rasmussen terus menjadi apabila berjaya menggandakan jaringan peribadi pada minit ke-88, sekali gus menghadiahkan jaringan kelima dan melengkapkan kemenangan pertama mereka kali ini.
Walaupun Thailand tidak bermain semalam, mereka yang mempunyai kelebihan perbezaan jaringan kekal berada di tangga teratas Kumpulan A dengan tiga mata, diikuti Filipina di tempat kedua (tiga mata), Indonesia (tiga mata), Kemboja (tiga mata) manakala Brunei pula di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Aksi seterusnya menyaksikan Brunei bertemu Indonesia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dan Thailand pula menentang Filipina di Stadium Thammasat, dengan kedua-dua perlawanan berlangsung pada 26 Dis ini.
-- BERNAMA