Piala AFF: Indonesia kalahkan Singapura 1-0
Bernama
November 29, 2012 08:29 MYT
November 29, 2012 08:29 MYT
Pasukan Indonesia kembali memberikan saingan dalam Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2012 selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pendahulu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil Rabu.
Skuad Garuda yang mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Laos Sabtu lepas menggasak kubu Singapura sebaik sahaja wisel permainan ditiupkan oleh pengadil perlawanan Ali Hasan Ebrahim dari Bahrain namun berjaya dipatahkan oleh pertahanan Singapura yang diketuai Baihakki Khaizan dan Daniel Mark Bennett.
Baihakki mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-31 namun percubaannya tersasar.
Singapura kemudian membuat pertukaran dengan mengeluarkan pemain tengah Hariss Harun dan digantikan dengan Aleksandar Duric pada minit ke-39 bagi mempertajamkan jentera serangan pasukan namun masih gagal mencari gol pendahuluan.
Pemain pertahanan Indonesia, Novan Setya Sasongko turut berpeluang untuk menjaringkan gol pembukaan untuk skuad Garuda pada minit ke-41 namun percubaannya turut tersasar.
Singapura terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-65 selepas pertahanan mereka, Muhammad Irwan Shah Arismail dilayangkan kad merah oleh Ali Hasan kerana mengasari pemain tengah Indonesia, Andik Vermansyah.
Andik yang mendapat jolokan 'Messi Indonesia' akhirnya muncul wira skuad Garuda dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86.
Kemenangan tersebut membolehkan mereka mengutip empat mata untuk memimpin sementara Kumpulan B.
Indonesia akan menamatkan aksi kumpulan bertemu Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala Singapura akan bertemu Laos di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini (1 Dis).