Piala AFF: Harimau Malaya sudah sedia gempur Singapura, laung Kim Pan-gon

Astro Arena
Januari 2, 2023 16:15 MYT
"Saya percaya mereka akan mernghormati lawan esok dan berjuang dengan pendekatan tepat untuk menawarkan persembahan jitu sambil berharap dapat mencapai keputusan yang bagus," ujar Pan-gon.
KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon, percaya kematangan barisan Harimau Malaya mampu menyerap gelora ketika berdepan Singapura, malam esok.
Pertembungan terakhir peringkat Kumpulan B, Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu menjadi ujian getir memandangkan skuad Malaysia -- yang di kedudukan ketiga -- memerlukan kemenangan untuk mara ke separuh akhir.
Begitupun, pengendali itu akan kekal dengan pendekatan agresif menyerang Harimau Malaya walaupun menyedari kekuatan Singapura dalam serangan balas sambil menegaskan anak buahnya sudah melupakan episod duka bertemu Vietnam, Khamis lalu.
Malah, sesudah tiga kali melihat rakaman perlawanan, dia mempertahankan prestasi pemainnya di Stadium Nasional, My Dinh hinggalah detik Nguyen Tien Linh memecah kebuntuan perlawanan.
"Sebenarnya saya sempat saksikan perlawanan di antara Singapura dan Vietnam, amat sukar untuk menilainya kerana pada pendapat saya, Vietnam tidak mempamerkan kemahuan tinggi, kalau beraksi sedemikian maka mereka tidak mampu memenangi apa-apa.
"Singapura tampak kental bertahan, kemahuan mereka lebih tinggi daripada Vietnam maka keputusan seperti itu terhasil," katanya dalam sidang media sempena perlawanan sebenar tadi.
Sungguhpun skuad Seberang Tambak itu hanya memerlukan seri untuk lolos, Pan-gon menjelaskan api perjuangan Harimau Malaya berkobar-kobar dan percaya anak buahnya mampu menjelmakan taktikal yang diterapkannya.
"Esok bergantung kepada kemahuan kami sendiri untuk berjuang. Dengan pendekatan yang tepat, menghormati Singapura dan sedar sepenuhnya perlawanan esok adalah amat penting maka ia akan menjadi kisah berbeza.
"Saya percaya Harimau Malaya kita sangat matang dan profesional. Saya sudah bersama mereka empat minggu dan lihat mereka sangat matang.
"Saya percaya mereka akan mernghormati lawan esok dan berjuang dengan pendekatan tepat untuk menawarkan persembahan jitu sambil berharap dapat mencapai keputusan yang bagus," katanya.
#Kim Pan-gon #Piala AFF #Stadium Nasional Bukit Jalil #harimau Malaya
;