Piala AFF: Harimau Malaya sasar permulaan sempurna di Yangon

Bernama
Disember 19, 2022 05:45 MYT
Pemain kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim meraikan jaringannya pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
SEPANG: Selepas membuat persiapan rapi selama tiga minggu, Malaysia bersemangat untuk memburu tiga mata pertama berdepan Myanmar pada perlawanan sulung Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Yangon, Rabu ini.
Ketua pasukan Mohamad Faisal Abdul Halim menyifatkan kemenangan pada pertembungan di Stadium Thuwunna itu cukup penting untuk menyuntik semangat dan keyakinan skuad Harimau Malaya yang kebanyakannya dibarisi muka baharu.
Beliau berkata kemenangan tipis sudah cukup memadai buat pasukan negara kerana yang penting adalah bagaimana para pemain mahu menjayakan setiap arahan dan pendekatan taktikal Ketua Jurulatih Kim Pan Gon dalam perlawanan.
"Di Myanmar kita kena menang, pada saya gol bukan faktor yang kita pentingkan, yang saya pentingkan macam mana kita hendak atasi permainan dan tekanan dalam perlawanan.
"Kalau menang 1-0 pun sudah cukup, janji kita dapat tiga mata dan bermain perlawanan kedua tanpa tekanan. Mahu atau tidak, kita perlu kerja keras dalam perlawanan pertama untuk dapat rentak," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia menundukkan Myanmar 3-0 pada aksi kumpulan A pada edisi 2018 di Stadium Nasional di Bukit Jalil.
Pemain sayap lincah berusia 24 tahun itu melihat tidak timbul masalah dari aspek keserasian pemain biarpun pasukan negara ke Piala AFF kali ini memiliki kombinasi pemain yang unik melibatkan pemain tempatan, naturalisasi dan kacukan.
"Saya harap semua pemain dapat beri terbaik (kerana) kita dah tiga minggu bersama, ini adalah waktu yang sebenar untuk buktikan mereka layak berada dalam pasukan," katanya yang mengesahkan tidak akan bersama Terengganu FC musim depan.
Mohamad Faisal yang dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor FC antara empat pemain dilantik Pan Gon untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan selain Dion Cools, Brendan Gan dan Muhammad Safawi Rasid namun Cools tidak beraksi pada saingan Piala AFF kali ini.
Malaysia berada di landasan tepat untuk memulakan kejohanan dwitahunan itu dengan bergaya selepas melakar dua kemenangan masing-masing menewaskan Kemboja 4-0 dan Maldives (3-0) pada aksi antarabangsa Tier 1, baru-baru ini.
Selepas bertemu Myanmar, anak buah Pan Gon akan menentang Laos di Bukit Jalil pada 24 Dis, Vietnam di Hanoi (27 Dis) sebelum menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Jan) pada aksi terakhir kumpulan. Hanya dua pasukan teratas layak ke peringkat separuh akhir.
Sebagai rekod, Malaysia yang merangkul gelaran juara pada 2010 dan naib juara sebanyak tiga kali pada 1996, 2014 dan 2018, terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lepas di Singapura.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #Mohamad Faisal Abdul Halim #stadium Thuwunna #AFF 2022
;