Piala AFF: Hanya 59,000 tiket dijual bagi aksi Thailand, harga kekal RM30
Faida Rahim
Januari 4, 2023 16:52 MYT
Januari 4, 2023 16:52 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya 59,000 keping tiket yang akan dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 Mitsubishi Electric di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.
“Situasi ini tidak dapat dielakkan FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan aksi skuad Harimau Malaya di sepanjang kempen Piala AFF 2022 ini tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil,” katanya.
Konsert Jay Chou, artis terkemuka dari Taiwan, akan berlangsung pada 15 Jan di Stadium Nasional.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga memaklumkan akan mengekalkan harga sama seperti perlawanan peringkat kumpulan bagi tiket separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Tiket bagi aksi separuh akhir pertama itu akan dijual pada harga RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.
Jelasnya, keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mempengerusikan mesyuarat khas bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM di stadium selepas perlawanan menentang Singapura, malam tadi.
Dalam pada itu, tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama itu hanya dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula jam 3 petang ini.
FAM turut menasihatkan penyokong supaya berhati-hati dengan pembelian tiket selain daripada secara dalam talian di www.tickethotline.com.my, berikutan terdapat penjualan tiket palsu bagi perlawanan menentang Singapura, malam tadi.
"FAM berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama ini dan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku," tegasnya.
Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 semalam. Vietnam muncul juara kumpulan dengan 10 mata, manakala Singapura tersingkir apabila menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata.
Sekiranya berjaya menundukkan pasukan paling cemerlang, Thailand yang mempunyai enam gelaran, skuad Harimau Malaya akan bertemu pemenang antara Vietnam dengan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Jan ini.