Piala AFF: Garuda ratah Brunei, Thailand mudah jinakkan Filipina
Bernama
Disember 26, 2022 23:58 MYT
Disember 26, 2022 23:58 MYT
KUALA LUMPUR: Indonesia melakar kemenangan terbesar dalam kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 selepas berpesta gol membelasah Brunei 7-0 pada aksi Kumpulan A di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dicatat skuad Garuda selepas mengatasi Kemboja 2-1 pada aksi pembukaan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta Jumaat lepas.
Skuad bimbingan Shin Tae Yong itu mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Syahrian Abimanyu pada minit ke-20 sebelum Dendy Sulistyawan menggandakan kedudukan empat minit sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, lima lagi gol Indonesia masing-masing disumbangkan Egy Maulana pada minit ke-59, Ilija Spasojevic (minit ke-60), Ramadhan Sananta (minit ke-68), Mark Klok (minit ke-86) dan Yakob Sayuri pada masa kecederaan.
Indonesia kini berkongsi enam mata dengan pendahulu juga juara bertahan Thailand yang turut melakar kemenangan kedua berturut-turut dengan membenam cabaran Filipina 4-0 di Stadium Thammasat di wilayah Pathum Thani pada satu lagi aksi malam ini.
Penyerang prolifik Teerasil Dangda meledak dua gol masing-masing pada minit ketiga dan ke-41 sebelum skuad kendalian Alexandre Polking itu menambah dua lagi jaringan pada babak kedua menerusi penyudah Adisak Kraison minit ke-57 dan Suphanan Bureerat enam minit kemudian.
Indonesia akan melayani kunjungan Thailand pada aksi tumpuan Kumpulan A di Jakarta, Khamis ini dan pasukan yang menang berpeluang cerah mara ke peringkat separuh akhir selaku juara kumpulan.
Sebagai rekod, kemenangan terbesar sebelum ini dilakar Vietnam yang menumpaskan Laos 6-0, Rabu lepas.
-- BERNAMA