Piala AFF: 'Gajah Perang' bangkit ikat 'Garuda'
Bernama
Disember 29, 2022 06:15 MYT
Disember 29, 2022 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Thailand, bangkit dari ketinggalan untuk mengikat Indonesia, 1-1, pada aksi Kumpulan A kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, semalam.
Perlawanan ulangan final edisi 2020 itu menyaksikan tuan rumah menguji gawang Thailand seminit selepas perlawanan bermula menerusi percubaan penyerang Witan Sulaeman yang dinafikan penjaga gol Kittipong Phoothawchuek manakala tandukan pemain sayap, lawan Bordin Phala, yang berpunca daripada sepakan sudut kapten Thailand, Theerathon Bunmathan, pada minit ke-22, melambung tinggi.
Kesilapan penjaga gol Kittipong Phoothawchuek yang cuba membuat hantaran pendek kepada barisan pertahanan hampir membawa padah apabila bola hantarannya disambar Witan namun tolakannya tersasar di bahagian kiri gawang gol, enam minit sebelum separuh masa pertama tamat.
Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Shin Tae Yong tidak menunggu lama untuk menggamatkan suasana di stadium keramat mereka apabila pemain naturalisasi kelahiran Belanda, Marc Klok, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50 selepas percubaan tonggak pertahanan kiri Asnawi Mangkualam terkena tangan Bunmathan.
Thailand yang dibimbing Alexandre Polking, dirundung malang apabila tempang dengan 10 pemain susulan layangan kad merah untuk pemain gantian, Sanrawat Dechmitr yang melakukan terjahan terhadap Saddil Ramdani pada minit ke-62.
Kekurangan dimiliki pasukan 'Gajah Perang' jelas tidak melunturkan semangat mereka untuk terus cuba menembusi benteng pertahanan 'Garuda' dan hasilnya Sarach Yooyen melepaskan sepakan lencong dari luar kotak penalti untuk menyamakan jaringan pada minit ke-79, sekali gus memastikan Thailand mencuri satu mata berharga dari Jakarta.
Thailand kekal di kedudukan teratas kumpulan, berkongsi tujuh mata dengan Indonesia yang menghuni tangga kedua.
Pada aksi terakhir kumpulan, Isnin ini, Indonesia akan menentang Filipina di Manila manakala Thailand berdepan Kemboja di Bangkok.
Sementara dalam satu lagi aksi Kumpulan A di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, tuan rumah Kemboja bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum membenam Brunei 5-1.
Selepas dikejutkan dengan gol tandukan Nurikhwan Othman pada minit ke-21, Kemboja menyamakan kedudukan menerusi Choun Chanchav pada minit ke-31.
Kemoja menambah empat lagi gol pada babak kedua menerusi Taylor pada minit ke-50, diikuti Keo Sokpheng pada minit ke-73 dan dua jaringan Lim Pisoth, masing-masing pada minit ke-80 dan ke-88.
Kemboja memungut enam mata untuk berada di tempat ketiga diikuti Filipina yang mengutip tiga mata dan Brunei di tempat tercorot, sekali gus menutup kempen kali ini tanpa sebarang mata.
-- BERNAMA