Piala AFF: Cheng Hoe minta peminat bertenang
Astro Arena
November 6, 2018 13:55 MYT
November 6, 2018 13:55 MYT
JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, meminta peminat bola sepak tanah air bertenang dan memberikan sokongan kepada pasukannya untuk mengharungi kempen Piala AFF 2018 dalam aksi pertama menentang Kemboja, Khamis ini.
Senarai 23 pemain negara ke Piala AFF masih mencetus perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan sejak diumumkan Ahad lalu.
Ia susulan pemilihan Cheng Hoe yang terhad di posisi tengah setelah tonggak Pahang, Nor Azam Azih, terpaksa digugurkan ekoran kecederaan.
Mengulas mengenai kebimbangan peminat mengenai situasi itu, ini reaksi Cheng Hoe: "Setiap jurulatih mempunyai falsafah mereka sendiri.
"Saya mempunyai keyakinan terhadap keseluruhan pemain yang saya pilih."
Cheng Hoe menyenaraikan tiga pemain tengah, iaitu Akram Mahinan, Kenny Pallraj dan Syamer Kutty Abba.
"Saya menganggap segala kritikan yang diberikan sebagai satu cabaran untuk membuktikan bahawa saya akan memberikan yang terbaik buat pasukan," kata Akram.
Skuad kebangsaan berlepas ke Phnom Penh bagi membuka kempen Piala AFF menentang Kemboja, awal pagi tadi.
Ia aksi penting buat anak buah Cheng Hoe dalam memburu permulaan sempurna untuk mara lebih jauh dalam kempen kali ini.
"Dalam setiap kejohanan, perlawanan pertama amat penting memandangkan amat sukar untuk mendapatkan rentak sebenar.
"Saya sedar pemain saya kini berada dalam tekanan yang tinggi.
"Saya harap mereka bersedia untuk memberikan aksi terbaik," tambah Cheng Hoe.