Piala AFF 2022: Malaysia kutip tiga mata pertama, tewaskan Myanmar 1-0

Faris Danial Razi
Disember 21, 2022 20:32 MYT
Pemain kebangsaan meraikan jaringan gol pertama pada perlawanan kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Thuwunna hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tiga mata pertama yang menjadi buruan skuad Harimau Malaya berjaya diperolehi selepas menang 1-0 ke atas Myanmar dalam aksi pembukaan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 sebentar tadi.
Perlawanan sengit yang berlangsung di Stadium Thuwunna, Yangon itu pada awalnya memperlihatkan skuad pihak lawan selesa menguasai bola sepanjang 45 minit babak pertama.
Namun, skuad kendalian Kim Pan Gon mula mengubah rentak permainan yang lebih menarik dengan kemasukan pemain naturalisasi negara, Lee Andrew Tuck yang mempamerkan permainan lebih pantas.
Ia terbukti berhasil apabila pemain sensasi negara, Faisal Halim berjaya memperdaya penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Phyo pada minit ke-52.
Percubaan demi percubaan dilakukan kedua-dua pihak, dan perlawanan bertukar situasi getir apabila pemain pertahanan Sharul Nazeem melakukan kesilapan di dalam kotak penalti sekali gus menghadiahkan sepakan penalti buat Myanmar.
Bagaimanapun, Ahmad Syihan penjaga gol muncul wira apabila berjaya menepis rembatan Myat Kaung Khant dan meletakkan skuad negara berada di landasan tepat untuk cuba melepasi peringkat kumpulan.
Pasukan negara akan meneruskan aksi menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan menerima kunjungan Singapura (3 Jan) di Bukit Jalil bagi memburu dua slot teratas kumpulan B untuk layak ke separuh akhir.
Sepanjang 13 edisi kejohanan dwitahunan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Tiger, Malaysia pernah muncul juara pada tahun 2010, serta naib juara sebanyak tiga kali iaitu pada edisi sulung 1996, 2014 dan 2018.
#ASEAN #harimau Malaya #Myanmar #Piala AFF 2022
;