Piala AFF 2020: Cheng Hoe pertaruh pengalaman, ketenangan Dion Cools
Astro Arena
Disember 15, 2021 09:03 MYT
Disember 15, 2021 09:03 MYT
HARIMAU Malaya tempang tanpa dua pemain selepas Tan Cheng Hoe mengesahkan ketiadaan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Shahrul Saad untuk aksi menentang Indonesia, Ahad ini.
Dua pertahanan tengah dilanda kecederaan hamstring dan gagal menamatkan permainan ketika tewas kepada Vietnam dalam perlawanan ketiga, Piala AFF, tiga hari lalu.
"Malangnya kedua-dua mereka akan tersisih ketika bertemu Indonesia dan akan kembali menyertai pasukan secepat mungkin.
"Apa yang paling penting kami fokus kepada perlawanan menentang Indonesia dan ia merupakan halangan besar.
"Saya berharap kedua-dua pemain ini sedia (diturunkan lagi) selepas ini," kata pengendali negara itu ketika ditemu bual dalam talian.
Ia situasi yang kurang disenangi tatkala Malaysia yang menduduki tangga ketiga amat memerlukan kemenangan bagi mencerahkan peluang melolosi Kumpulan B.
Bagaimanapun, Cheng Hoe tidak panik kerana bantuan dari Belgium, Dion Cools, yang bakal tiba pada Jumaat ini dan tidak perlu menjalani kuarantin, lalu boleh terus dipersiapkan untuk menentang skuad Garuda.
"Dion Cools memaklumkan bahawa dia sudah bersedia untuk kempen Piala AFF. Sudah tentu dia akan menggunakan pengalaman dan ketenangannya, dia mampu menyesuaikan diri dengan pasukan sekalipun kali terakhir beraksi untuk negara pada Jun lalu.
"Saya harap pada kali ini dia mampu menggunakan pengalamannya bagi memberikan kestabilan kepada pasukan," katanya lagi.
Selain itu, Cheng Hoe juga masih memantau tiga pemainnya yang terdiri daripada Khairul Azhan Khalid, Faisal Halim dan Quentin Cheng, yang kini sudah tamat perintah 10 hari kuarantin gara-gara COVID-19.
Penyerang R Kogileswaran pula mengambil sikap optimis Harimau Malaya akan bangkit untuk mara ke separuh akhir biarpun dilanda pelbagai musibah, khususnya dengan kekalahan 0-3 kepada skuad Naga Emas.
"Adalah normal dan memang sedih dengan kekalahan lalu tetapi apa yang paling penting ia bukan pengakhiran buat skuad kebangsaan. Kami perlu segera melupakan kekalahan kepada Vietnam untuk berdepan Indonesia.
"Tetapi pemain sudah menelan keputusan itu dan kami memberi fokus kepada sesi latihan agar lebih bersedia untuk bermain bermati-matian bertemu Indonesia," kata pemain Petaling Jaya City tersebut.