Piala AFC: TFC sasar tiga mata walaupun dihimpit isu kecederaan pemain

Bernama
Oktober 25, 2023 15:41 MYT
Steinbruckner berkata sehingga semalam beberapa tonggak termasuk Safwan Mazlan dan kapten skuad Penyu Habib Haroon masih tidak dapat menjalani latihan bersama pasukan berikutan ditimpa kecederaan. - Gambar fail
KUALA NERUS: Biarpun dihimpit masalah kecederaan pemain, Terengganu FC (TFC) bertekad untuk mengutip tiga mata pada aksi Piala Konfederasi Asia (AFC) menentang pasukan Filipina, Stallion Laguna FC di laman sendiri, petang esok.
Pengendali Tomislav Steinbruckner berkata sehingga semalam beberapa tonggak termasuk Safwan Mazlan dan kapten skuad Penyu Habib Haroon masih tidak dapat menjalani latihan bersama pasukan berikutan ditimpa kecederaan ketika menentang Kuala Lumpur City pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Sabtu lepas.
Bagaimanapun ketua jurulatih kelahiran Croatia itu berkata beliau akan menggunakan sesi latihan terakhir petang ini untuk menilai dan menentukan kesebelasan utama pemain yang akan diturunkan.
"Safwan dan Habib (cedera) sedang dipertimbangkan. Tetapi kami akan turunkan pasukan terbaik untuk menang ke atas Stallion Laguna FC," katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini hari ini.
Beliau berkata pemainnya perlu mencari jalan untuk kekal bertenaga memandangkan perlawanan akan bermula pada 4 petang ketika cuaca masih panas.
Sementara itu pengendali Stallion FC, Ernest Nierras mengakui sebagai sebuah kelab bola sepak yang baharu di Filipina, kualiti pemainnya berbeza berbanding pasukan TFC yang merupakan kelab terkemuka di Liga Malaysia selain Johor Darul Ta'zim (JDT).
Namun, beliau tetap berharap untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata selepas tewas dalam dua perlawanan kumpulan menentang Bali United dan Central Coast Mariners FC sebelum ini.
"Kami akan bermain bersungguh-sungguh esok. Jika nasib menyebelahi kami, baguslah, jika tidak, kami telah pelajari sesuatu untuk menjadikan kelab semakin baik pada masa depan," katanya yang juga pemilik kelab berkenaan.
Skuad Penyu kini menduduki tempat kedua kumpulan G saingan Piala AFC 2023 dengan empat mata manakala Stallion Laguna FC di tempat terakhir tanpa sebarang kutipan mata.
-- BERNAMA
#piala afc #Terengganu FC #Filipina #Stallion Laguna FC
;