Piala AFC: Sabah kekal status pendahulu kumpulan belasah PSM Makassar
Astro Arena
Oktober 5, 2023 05:45 MYT
Oktober 5, 2023 05:45 MYT
PSM MAKASSAR 0 SABAH FC 5
Sabah FC mengekalkan status sebagai pendahulu Kumpulan H, Piala AFC selepas membelasah kelab Indonesia, PSM Makassar, 5-0 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali malam tadi.
Selepas menewaskan kelab Singapura, Hougang United FC, 3-1 dalam aksi pembukaan di Likas pada 21 September lalu, Sabah mengekalkan rentak kemenangan itu, kali ini dengan kemenangan besar di gelanggang lawan.
Penyerang negara, Darren Lok, muncul pemain paling cemerlang meledakkan dua gol, masing-masing dalam separuh masa berbeza.
Darren memulakan pesta jaringan itu seawal minit keenam dengan menanduk masuk lintangan Saddil Ramdani.
Gabriel Peres kemudian melebarkan kelebihan itu berselang setengah jam, juga dengan menanduk masuk hantaran lintang Saddil, sekali gus memberikan kelesesaan buat pelawat menuju ke waktu rehat.
Darren hanya memerlukan 20 saat selepas babak kedua bermula untuk memusnahkan harapan PSM, di mana dia menyudahkan bola ke gawang lawan susulan gerakan solo menarik yang dipamerkan Saddil dari sebelah kanan.
Stuart Wilkin turut mahu memahat namanya selaku penjaring menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti, yang sepat terbias benteng lawan pada minit ke-73.
Melengkapkan kemenangan bergaya skuad Negeri di Bawah Bayu itu ialah pemain gantian, Farhan Roslan, dengan jaringannya dalam waktu kecederaan.
Sabah seterusnya akan menghadapi kelab Vietnam, Hai Phong, bagi aksi ketiga di laman lawan pada hujung bulan ini.