Piala AFC: PSM Makassar bidas jadual berat sebelah
Astro Arena
Jun 24, 2022 08:20 MYT
Jun 24, 2022 08:20 MYT
SEHARI sebelum sepak mula Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kehangatan perseteruan Malaysia-Indonesia berlanjutan ke saingan kelab selepas ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares, membidas sikap pilih kasih badan induk itu yang menukar jadual pertandingan pada saat-saat akhir.
Tavares menganggap pemilihan Stadium KLFA untuk kempen Kumpulan H itu membebankan skuadnya apabila perlu mengharungi dua perlawanan dalam tempoh tiga hari sementara juara Piala Malaysia berkenaan pula mempunyai hingga Khamis sebelum bertemu kelab Singapura, Tampines Rovers.
"Kami sepatutnya beraksi 24 dan 30 Jun sebelum sesuatu berlaku hingga jadual terpaksa ditukar kepada 24 dan 27 Jun.
"Pasukan saya mahu melakar kejutan. Saya harap mempunyai persiapan yang lebih panjang tapi kami perlu akur dengan jadual yang ditetapkan.
"Kami akan bersedia esok. Saya harap perkara ini tidak berulang lagi pada masa depan sebab secara kebetulan Kuala Lumpur (City) menjadi gelanggang rasmi.
"Saya membayangkan Kuala Lumpur tidak perlu berkunjung ke Singapura atau Indonesia. Mereka sudah ada di sini jadi saya tidak faham mengapa ada perbezaan sampai enam hari (persiapan) sedangkan pasukan lain cuma tiga hari.
"Saya fikir ia tidak manis untuk imej. Kalau mahu bantu, cuba bantu dengan cara yang lain," kata jurulatih berbangsa Portugis itu dalam sidang media pra-perlawanan di Stadium KLFA semalam.
PSM Makassar merupakan pasukan tertua dalam Liga 1 Indonesia itu ditubuhkan pada 1915 dan menamatkan saingan di tangga ke-14 musim lalu.
Kelab itu hanya pernah layak ke separuh akhir zon ASEAN Piala AFC sekali sahaja.