Piala AFC: Lang Merah perlu ambil kesempatan kepenatan Bali United

Astro Arena
Jun 24, 2022 10:30 MYT
AIDIL Sahrin Sahak menganggap faktor kepenatan lawan sebagai kelebihan yang minimal tatkala Bali United memiliki kredibiliti tersendiri berlandaskan barisan pemain yang dimiliki skuad bimbingan Stefano Cugurra itu.
Juara liga satu musim lalu itu berdepan dengan masalah kepenatan berikutan baru pulang daripada menjalani kempen pra-musim, tiga hari lalu.
Lazimnya, laungan dan sorakan penyokong Bali United itu sendiri di Stadium Kapten I Wayan Dipta pastinya akan menyemarakkan semangat mereka dalam pertembungan Kumpulan G.
Jika ia menjadi kegerunan sesetengah pasukan, Aidil Sahrin sebaliknya berasakan situasi itu lebih membakar semangat pemainnya.
"Pemain saya pernah mengharungi perlawanan yang dipenuhi penyokong baik di tempat sendiri dan lawan.
"Saya harap mereka dapat menikmati suasana perlawanan bola sepak di Bali.
"Mereka mempunyai pemain yang boleh ditukarkan, kami cuma perlu fokus kepada kekuatan sendiri dan ambil kesempatan apabila Bali kelesuan dalam babak kedua.
"Tetapi dalam bola sepak apa jua boleh berlaku. Pasukan yang beraksi baik dan berikan 100 peratus akan meraih hasilnya," kata pengendali Lang Merah itu dalam sidang media pra-perlawanan semalam.
Dalam masa sama, pertahanan Kedah Darul Aman, Akmal Zahir, pula tidak mengambil mudah kelebihan Bali di tempat sendiri.
Malah, pertahanan tengah yang baru dipancing itu sudah bersedia untuk mematahkan asakan lawan.
"Bali pasukan yang kuat dan pernah dua kali menjuarai Liga Indonesia.
"Kami telah buat analisis tentang kekuatan Bali dan harap dapat laksanakannya esok," katanya.
#Aidil Sahrin Sahak #Bali United #Kedah Darul Aman #piala afc
;