Piala AFC: Kelantan tewas 2-3 kepada Yangon United, gagal mara

Bernama
April 8, 2014 07:14 MYT
Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 2-3 kepada kelab Yangon United dari Myanmar dalam perlawanan Kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam Selasa.
Kelantan terpaksa bermain tanpa penyerang importnya Mohamad Ghaddar akibat kecederaan dan dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat pada minit ke-24 menerusi sepakan rendah Cezar Augusto Hermenegildo yang melepasi jangkauan Khairul Fahmi Che Mat.
Pada aksi separuh masa kedua, Kelantan yang memperkemaskan jentera serangan berjaya membuat gol penyamaan pada minit ke-49 apabila sepakan Mohd Khairul Izuan Rosli dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol lawan Pyae Phyo Oo.
Pasukan tuan rumah kemudiannya mendahului pelawat pada minit ke-54 menerusi sepakan Wan Zaharul Nizam Zakaria.
Bagaimanapun Yangon United membuat serangan balas menerusi Emerson Reis Luiz pada minit ke-64 dan kemudiannya memperoleh gol kemenangan pada minit ke-80 menerusi Kyaw Ko Ko.
Kekalahan itu melenyapkan impian Kelantan untuk mara ke pusingan seterusnya.
#afc #bola sepak #Kelantan #Yangon United
;