Piala AFC: Kedah hidupkan peluang lepasi saingan kumpulan
Bernama
Jun 27, 2022 00:39 MYT
Jun 27, 2022 00:39 MYT
KUALA LUMPUR: Kedah Darul Aman (KDA) FC merakam kemenangan bergaya selepas mengatasi kelab dari Filipina Kaya FC-Iloilo 4-1 untuk menyalakan peluang mara ke pusingan kalah mati saingan Piala AFC 2022 malam ini.
Kemenangan sulung pada aksi kedua Kumpulan G di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Bali, Indonesia, menyaksikan skuad Sang Kenari kendalian Aidil Sharin Sahak merampas kedudukan kedua, berkongsi tiga mata dengan Bali United FC dan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Visakha FC.
Pada aksi malam ini, kedua-dua pasukan yang tewas pada aksi pembukaan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama dengan Kedah berpeluang berada di depan seawal minit pertama, namun pemain tengah Mohd Syazwan Zainon gagal menampan kemas bola di depan gawang.
Kedah akhirnya berjaya menjaringkan gol yang dicari-cari pada minit ke-57 menerusi pemain sayap Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin yang mudah menolak bola masuk ke gawang selepas menerima lorongan ketua pasukan Ronald Ngah Wanja.
Jaringan tersebut nyata membakar semangat pasukan apabila Mahmoud Al-Mardi pula meledak gol kedua Kedah enam minit kemudian setelah memanfaatkan hantaran Ngah Wanja sebelum kapten itu sendiri mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-82 selepas menyudahkan larian solo.
Ketinggalan 0-3, Kaya FC-Iloilo yang enggan mengalah berjaya meraih gol sagu hati hasil penyudah penyerang Jarvey Gayoso pada minit ke-86 sebelum Kedah mengesahkan kemenangan menerusi jaringan di masa kecederaan babak kedua oleh Muhammad Fayadh yang juga jaringan kedua peribadinya malam ini.
Dalam pada itu, wakil Kemboja Visakha FC mencerahkan peluang melepasi saingan Kumpulan G selepas menewaskan pasukan tuan rumah Bali United FC 5-2 dalam satu lagi aksi berlangsung di venue sama pada sebelah petang.
Kemenangan kedua berturut-turut Visakha FC selepas mengatasi Kaya FC-Iloilo 2-1 pada aksi pembukaan, Jumaat lepas, menyaksikan mereka hanya memerlukan keputusan seri berdepan Kedah pada aksi terakhir Khamis ini untuk layak ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan.
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan H, kelab dari Indonesia PSM Makassar membawa pulang tiga mata pada aksi terakhir mereka selepas menundukkan wakil Singapura Tampines Rovers 3-1 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras.
Kejayaan itu membolehkan PSM Makassar yang terikat tanpa jaringan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi pembukaan di venue sama Jumaat lepas, menerajui saingan Kumpulan H dengan empat mata.
KL City akan membuat perhitungan dengan Tampines Rovers pada aksi terakhir Kumpulan H di Cheras Jumaat ini dalam misi muncul juara kumpulan, dengan syarat perlu memiliki kelebihan tiga gol dengan Makassar.
Saingan kumpulan Piala AFC melibatkan KL City dan KDA berlangsung secara liga sepusingan dengan juara kumpulan dan satu naib juara terbaik antara tiga kumpulan zon ASEAN akan layak ke peringkat seterusnya.
-- BERNAMA