Phee Jinq En mahu berehat seketika dari kolam renang
Bernama
Jun 29, 2024 23:08 MYT
Jun 29, 2024 23:08 MYT
SURABAYA: Perenang berpengalaman negara Phee Jinq En mengambil keputusan untuk melupakan seketika kolam renang selepas kejayaan menyumbang pingat emas dan perak kepada kem negara di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024.
Phee Jing berkata beliau mahu berehat selepas menempuh dua tahun yang dianggap mencabar apabila perlu menjalani latihan dan mengikuti kuliah bagi memenuhi tanggungjawab sebagai atlet serta pelajar.
Bagaimanapun, atlet yang pernah beraksi di Sukan Olimpik itu berpuas hati dengan prestasinya di AUG 2024 yang juga merupakan penampilan terakhirnya di temasya itu.
"Satu emas dan satu perak pada AUG kali ini, bagi saya ia satu pencapaian yang baik. Saya sudah buat yang terbaik memandangkan terpaksa mengharungi dua kejohanan berturut-turut.
"Kini saya boleh 'bernafas' dan dapat tenang sedikit selepas berdepan cabaran dalam tempoh dua tahun dengan melakukan kajian serta latihan. Saya juga tidak akan sambung belajar," katanya kepada pemberita di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) di sini hari ini.
Di temasya dwitahunan itu, Jinq En meraih emas menerusi acara 50 meter (m) kuak dada wanita pada Rabu dan sekadar meraih perak dalam acara 200m kuak dada wanita semalam.
Meskipun gagal memenangi emas, Jinq En masih berjaya melakukan catatan masa terbaik musim ini bagi acara 200m kuak dada dengan 2:33.89 saat.
-- BERNAMA