PFAM kembali bernafas
Fadzrie Hazis
Jun 11, 2013 19:46 MYT
Jun 11, 2013 19:46 MYT
Selepas empat tahun tidak aktif, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) kini kembali berfungsi apabila kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dilantik sebagai presiden baru persatuan itu.
Selaku presiden, Hairuddin akan mewakili PFAM di Mesyuarat Persekutuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (FIFPRO) Asia di Melbourne pada Selasa.
Hairuddin jelas dilihat calon sesuai mempimpin persatuan ini, untuk mewakili pemain-pemain lain dalam kancah Liga M.
Beliau adalah antara pemain paling senior yang masih mengerah kudrat dalam saingan Liga M ketika ini.
Hairuddin juga cukup sinonim dengan masalah-masalah yang kerap dihadapi pemain dalam saingan domestik.
Menerusi kenyataannya dalam sebuah akhbar tempatan pada Selasa, Hairuddin mahu meningkatkan keberkesanan persatuan ini.
"Buat masa ini sudah ada 160 pemain yang mendaftar sebagai ahli.
Saya harap ramai lagi pemain akan menghubungi kami untuk menjadi kami, kami perlu perkasakan semula persatuan ini," kata Hairuddin.
Pembabitan Hairuddin bersama PFAM turut disokong jurulatihnya di ATM, B Sathianathan.
"Dalam bola sepak, yang paling utama adalah pemain-pemain. Kini dengan adanya PFAM, ia dapat menjadi suara yang mewakili hak pemain-pemain dalam kancah Liga M," kata bekas pengendali kebangsaan ini ketika dihubungi Astro Awani pada Selasa.
Selain Hairuddin, turut terbabit dengan PFAM ialah dua lagi pemain ATM, Reezal Zambry yahya dan bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan.
Reezal adalah Timbalan Presiden PFAM, manakala Shukor adalah exco persatuan itu, bersama dengan tiga lagi pemain, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safee Sali (Johor D-T) dan P Gunalan (PKNS Selangor).