PFAM & CIC komited bangun kerjaya pemain bola sepak menerusi pendidikan

Ian Johan Ariff
Januari 17, 2018 22:57 MYT
Majlis tandatangan MoU CIC dan PFAM diwujudkan sebagai simbolik komitmen dan kerjasama PFAM dan CIC dalam pelbagai aspek terutama berkaitan pendidikan dan pembangunan kerjaya pemain bola sepak.
Bola sepak adalah industri yang belum matang sepenuhnya di Malaysia tetapi masa depannya amat cerah.
Pemain-pemain profesional dalam pasukan bola sepak tempatan boleh mencari rezeki dalam pelbagai cabang bidang sukan tersebut, dengan pendidikan dan bimbingan yang betul.
Bagi meningkatkan lagi peluang dan ilmu kepada pemain-pemain bola sepak profesional di negara ini, Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Cyberlynx International College (CIC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pemain profesional melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
CIC menawarkan pengajian dalam Diploma Pengajian Bola Sepak kepada ahli-ahli PFAM.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CIC, Datuk Dr. PB. Ashok, Cyberlynx komited untuk menawarkan biasasiwa kepada PFAM dan akan memaklumkan jumlah biasiswa tersebut kepada pengurusan PFAM.
“Yuran pengajian juga lebih murah berbanding pelajar lain. Ia adalah yuran istimewa kepada bekas pemain dan pemain bola sepak yang masih aktif. Ini adalah komitmen dan tanggungjawab sosial Cyberlynx untuk menyumbang kepada pemain bola sepak yang telah menyumbang kepada negara ini,” kata Dr. PB. Ashok dalam satu sidang media selepas menandatangani MoU bersama PFAM petang tadi di Petaling Jaya.
Pendidikan ini akan memberi nilai tambah dari segi akademik kepada bekas pemain profesional atau pemain masih aktif yang sudahpun memiliki lesen kejurulatihan C atau D di Malaysia.
Ia akan meningkatkan kemahiran pemain profesional dalam semua bidang bola sepak seperti kejurulatihan, pengadilan dan pengurusan kelab.
Dr. PB. Ashok turut menjelaskan sehingga kini semua bekas pelajar diploma tersebut sudah bekerja dalam bidang masing-masing yang ada kaitan dengan bola sepak, termasuk di negara lain seperti Kemboja dan juga bersama pasukan bola sepak England, Queens Park Rangers.
Antara bekas pemain yang mengambil diploma tersebut adalah ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, MoU ini diwujudkan sebagai simbolik komitmen dan kerjasama PFAM dan CIC dalam pelbagai aspek, terutamanya aspek yang berkaitan dengan pendidikan dan pembangunan kerjaya pemain.
“Perjanjian ini akan menjadi satu platform bagi ahli PFAM yang ingin menyambung pengajian dalam diploma tersebut dan pada masa sama, dapat membantu pembangunan kerjaya pemain, sekaligus mentransformasi bola sepak Malaysia,” kata Izham.
MoU tersebut ditandatangani di CIC, Petaling Jaya dan turut disaksikan oleh Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan Naib Presiden Eksekutif CIC, Evelyn Poon.
#CIC #Cyberlynx #Dollah Salleh #Dr PB Ashok #Evelyn Poon #Izham Ismail #PFAM #Queens Park Rangers #Rezal Zambery
;