Petronas Yamaha SRT buat analisis isu dihadapi pada GP Aragon
Bernama
Oktober 19, 2020 13:16 MYT
Oktober 19, 2020 13:16 MYT
KUALA LUMPUR: Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) akan membuat analisis terperinci selepas pelumba pasukan itu, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli menghadapi beberapa isu termasuk masalah tayar pada Grand Prix (GP) Aragon di Litar Aragon, Sepanyol pada Ahad.
Prinsipal pasukan itu Datuk Razlan Razali bagaimanapun berkata beliau masih berpuas hati selepas Morbidelli menduduki tempat keenam, manakala Quartararo di kedudukan ke-18, walaupun berhadapan dengan masalah tayar depan dan sukar beraksi selepas terlibat dalam kemalangan semasa sesi latihan ketiga pada Sabtu.
Morbidelli mencatatkan masa 41 minit 59.147 saat manakala Quartararo merekodkan 42:15.889 saat dalam perlumbaan 23 pusingan.
"Perkara seperti ini berlaku dalam perlumbaan, kami hanya perlu belajar daripadanya dan kembali dengan lebih baik minggu hadapan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukan berkenaan hari ini.
Pelumba Sepanyol Joan Mir daripada Team Suzuki Ecstar yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga (41:57.035 saat), mengambil alih kedudukan pendahulu Kejohanan Dunia MotoGP daripada Quartararo dengan 121 mata, manakala Quartararo turun ke tangga kedua selepas memperoleh 115 mata.
Pelumba Sepanyol Maverick Vinales daripada Monster Energy Yamaha yang berada di tempat keempat (41:57.271 saat), naik ke tangga ketiga dengan 109 mata manakala Morbidelli di kedudukan keenam dengan 87 mata selepas 10 perlumbaan.
Sementara itu, Razlan memuji pelumba Moto2 dan Moto3 Petronas Sprinta, Jake Dixon dari Great Britain, dan pelumba Scotland, John McPhee yang menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat keempat dan kelima.
Dixon meraih kedudukan terbaik musimnya selepas mendapat tempat keempat dengan catatan masa 39 minit 42.500 saat manakala McPhee merekodkan 37:45.377 saat dalam perlumbaan 19 pusingan.
Beliau juga memuji rakan sepasukan Dixon, Xavi Vierge dari Sepanyol yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 (39:59.949 saat) walaupun baru pulih daripada patah tulang di kedua-dua kaki selepas terlibat dalam kemalangan pada GP Perancis di Litar Le Mans baru-baru ini.
Razlan dalam pada itu berharap pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi (KIP) yang juga rakan sepasukan McPhee, meningkatkan prestasinya menjelang GP Teruel minggu hadapan, dijadual diadakan di litar sama dari 23 hingga 25 Okt. Beliau masih belum memperoleh sebarang mata selepas 11 perlumbaan.
-- BERNAMA
#SRT
#Petronas Yamaha SRT
#Petronas
#Yamaha
#fabio quartararo
#MotoGP
#GP Aragon
#masalah tayar
#franco morbidelli
#Razlan Razali
#pelumba
#Jake Dixon
#John McPhee
#Khairul Idham Pawi