Petronas terbaik dalam F1 - Hamilton, Rosberg

Bernama
Mac 26, 2015 10:13 MYT
Tahun lepas, pasukan Mercedes AMG Petronas menjuarai kategori pengeluar manakala Hamilton, dari Britain muncul juara dunia diikuti rakan sepasukan dari Jerman, Nico Rosberg, di tangga kedua. - Gambar Fail
Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton yakin rakan perkongsian antara Petronas dan Mercedes AMG akan membolehkan pasukan itu mencapai lebih banyak kejayaan dalam perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) musim ini.
Hamilton berkata Petronas, sebagai rakan teknikal dan pengeluar formula bahan api dan pelicir untuk pasukan itu, telah menyumbang kepada prestasi cemerlang serta membantu menyediakan kereta yang lebih baik untuk musim ini.
"Kerjasama dengan Petronas untuk tahun ketiga merupakan satu keistimewaan. Kami mempunyai objektif bersama sebagai satu pasukan iaitu muncul sebagai pasukan terbaik dan mahu melangkah lebih jauh dalam setiap perlumbaan.
"Kereta ini adalah menakjubkan dan pasti lebih baik daripada tahun lepas. Kami berada dalam era revolusi untuk kereta yang lebih baik musim ini," katanya kepada pemberita pada sesi bertemu peminat di Dewan Filharmonik Petronas di sini, pada Rabu.
Tahun lepas, pasukan Mercedes AMG Petronas menjuarai kategori pengeluar manakala Hamilton, dari Britain muncul juara dunia diikuti rakan sepasukan dari Jerman, Nico Rosberg, di tangga kedua.
Selepas menjuarai perlumbaan pembuka tirai musim F1 di Melbourne, Australia, dua minggu lepas, Hamilton berkata beliau menjangka perlumbaan pusingan kedua sengit pada Petronas Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.
"Kelembapan adalah pembunuh tetapi saya masih positif. Tahun lepas perlumbaan di Malaysia adalah mengakjubkan dan ia merupakan kemenangan pertama saya di sini," katanya.
Rosberg pula menyifatkan Petronas adalah yang terbaik dalam F1 dan kerjasama perkongsian itu telah membuktikan formula kejayaan untuk pasukan tahun lepas.
"Pemanduan dengan menggunakan bahan api dan pelicir terbaik membantu kami mencapai kejayaan dalam setiap perlumbaan musim lepas. Saya amat bersyukur atas kualiti yang dicipta oleh Petronas," katanya.
Sementara itu, Rosberg juga mengulas berita bahawa penasihat pasukan Red Bull, Helmut Marko telah memberi amaran bahawa pasukannya mungkin menarik diri kerana peraturan dan organisasi selepas kecewa dengan perlumbaan pertama di Melbourne.
"Pasukan Red Bull telah menguasai sukan ini selama empat tahun dan ia menjadi lebih hebat jika mereka boleh menunjukkan lebih banyak pencapaian peraturan. Mereka telah menjalankan tugas yang baik sebagai satu pasukan untuk mendominasi perlumbaan," kata Rosberg.
Marko dilaporkan oleh agensi berita AFP sebagai berkata pasukan Austria itu tidak gembira dengan situasi semasa apabila pemilik pasukan Christian Horner menggesa peraturan baharu diperkenalkan bagi mewujudkan ruang sama rata untuk semua pasukan bersaing.
#AMG #F1 #Lewis Hamilton #Nico Rosberg #Petronas
;