Peteh mahu khidmat pemain import Terengganu dikaji semula

Bernama
Januari 24, 2013 14:39 MYT
Kelab Penyokong Terengganu (Peteh) meminta pengurusan pasukan Terengganu mengkaji semula khidmat dua pemain import dari Cameroon dalam saingan Liga Super musim ini.
Setiausahanya Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata langkah itu wajar memandangkan prestasi Effa Owana Jean Emmanuel dan Vincent Bikara didakwa kurang memuaskan selepas lima perlawanan liga.
"Mereka gah pada nama tetapi tidak kepada permainan... Terengganu kini menduduki di tangga tercorot carta liga setelah mengharungi lima perlawanan setakat ini, ini belum pernah terjadi lagi, " katanya kepada Bernama di sini Rabu.
Wan Mohd Azmi mempersoalkan penyerang Effa Owana sepatutnya menyerlah namun belum menampilkan pemainan yang diharapkan serta belum menjaringkan sebarang gol untuk membantu pasukan Terengganu.
"Apakah permainan dipamerkannya itu setimpal dengan gaji yang dibayar oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu kepada pemain import berkenaan ?," tanya beliau.
Bagaimanapun, Wan Mohd Azmi berkata walau apapun Peteh akan tetap memberikan sokongan kerana yakin pasukan negeri itu mampu bangkit semula jika semua pihak bekerjasama.
#bola sepak #Kelab Penyokong Terengganu #Liga Super #Peteh #Wan Mohd Azmi Wan Ngah
;