Pestabola Merdeka: Zainal Abidin bintang dalam pembikinan, Chin Aun sedia gadai nyawa
Astro Arena
Oktober 11, 2023 08:00 MYT
Oktober 11, 2023 08:00 MYT
UMPAMA mimpi!
Demikian luahan legenda penyerang bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan, yang mengimbau kembali memori indah ketika dipanggil menyertai skuad kebangsaan seawal usia 17 tahun dalam Pestabola Merdeka 1980.
"Saya menerima panggilan antarabangsa pertama pada 1980 bermain di samping pemain seperti arwah Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugam dan Santokh Singh pada usia 17 tahun.
"Mereka amat saya hormati dan berikan tunjuk ajar dalam Pestabola Merdeka edisi itu," katanya keoada Nadi Arena, pada Selasa.
Sementara itu, Datuk Soh Chin Aun, menyifatkan tiupan semangat yang dibawa pemain pada zaman itu sangat luar biasa dan mereka sanggup mempertaruhkan nyawa tatkala berada di padang.
"Pada zaman itu, pencapaian kami agak berjaya kerana pemain-pemain sedia berjuang bermati-matian sejak awal hingga perlawanan berakhir," katanya pula.
Bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, yakin pasukan kebangsaan kendalian Kim Pan-gon dalam momentum terbaik bagi merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka Edisi Ke-42 ini.
"Kita mengharapkan mendapat kejuaraan pada kali ini kerana kita tidak boleh pandang rendah kepada India dan Tajikistan.
"Saya nampak Malaysia di landasan terbaik di peringkat antarabangsa," katanya.
Cheng Hoe ditemui dalam perlawanan amal di antara Veteran Hoteliers menentang skuad senior kebangsaan yang diadakan di Stadium Panasonic, Shah Alam.
Perlawanan akhir di antara Hoteliers Kedah dan Hoteliers Negeri Sembilan berkesudahan 1-0 memihak Sang Kenari. - Stadium Astro