Pestabola Merdeka: Segrt dedah Tajikistan hilang 15 pemain, harap pengadil buat keputusan tepat
Astro Arena
Oktober 16, 2023 14:23 MYT
Oktober 16, 2023 14:23 MYT
KETUA jurulatih skuad Tajikistan, Petar Segrt, mendedahkan bahawa pasukannya kehilangan 15 pemain menjelang aksi final Pestabola Merdeka menentang skuad negara di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Selain itu, Segrt, yang tidak dapat menyaksikan pertemuan di antara Harimau Malaya dan India sewaktu aksi pertama pada Jumaat lalu kerana demam panas, turut berharap pengadil perlawanan akhir itu dapat memberikan mutu pengadilan terbaik agar tiada lagi isu berbangkit.
Sebagai rekod, Malaysia layak ke final dengan menewaskan India 4-2 di Stadium Nasional tetapi beberapa keputusan pengadil mencetuskan rasa tidak puas hati lawan itu, terutama melibatkan jaringan ketiga India yang tidak disahkan biarpun bola kelihatan sudah melepasi garisan gol.
"Maaf saya tidak dapat menonton perlawanan itu kerana demam panas tetapi barisan kejurulatihan saya ada di sana dan saya amat mempercayai mereka," katanya dalam sidang media.
"Saya hanya boleh bercakap dengan apa yang saya tonton daripada rakaman video.
"Seperti yang saya katakan, pasukan anda beraksi dengan amat luar biasa tetapi anda agak bernasib baik dengan pengadil.
"Dengan situasi itu, saya harap pengadil esok dapat memberikan keputusan yang lebih tepat.
"Tetapi ini adalah bola sepak, kami juga berdepan kesukaran.
"Anda memiliki pemain yang hebat, saya gemari gaya permainan pasukan anda, saya gemari pemain anda.
"Kami pernah menewaskan anda dalam Piala Raja Thai tahun lalu tetapi bagi perlawanan ini, kami kehilangan 15 pemain. Mereka menghadapi masalah di Tajikistan kerana juara liga, Istiklol, tidak dapat melepaskan pemain mereka.
"Mereka merupakan pemain utama kami, termasuk juga ketua pasukan kami, jadi ia bukan pasukan yang sama ketika kami menewaskan Malaysia.
"Esok mungkin kami akan menurunkan pasukan paling muda di dunia dengan purata umur 21 tahun," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro