Pestabola Merdeka pentas penting pilih pemain ke Piala Asia 2023
Bernama
Oktober 8, 2023 11:39 MYT
Oktober 8, 2023 11:39 MYT
PETALING JAYA: Saingan Pestabola Merdeka 2023 menjadi medan penting buat Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon bagi memilih barisan pemain terbaik negara yang akan menggalas cabaran Malaysia pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, bagaimanapun berkata beliau tidak akan membuat perubahan yang banyak dalam senarai barisan pemain, sebaliknya mereka perlu membuktikan prestasi cemerlang untuk membawa nama Malaysia di Qatar kelak.
"Jadi pentas ini (Pestabola Merdeka 2023) cukup penting bagi mereka (pemain). Jadi saya fikir bagi kami, kami tidak boleh melakukan banyak perubahan (ke atas pemain) kerana bagi saya, saya tidak bergantung hanya kepada satu aksi perlawanan, kerana kadang-kadang dalam satu atau dua perlawanan, prestasi pemain boleh menurun.
"Tetapi kami buat penilaian secara umum, jadi mereka harus mempamerkan karektor yang baik dan memahami aspek teknikal...Kami tidak menolak pemain hanya kerana tidak beraksi dengan baik dalam satu perlawanan dengan menggantikannya dengan yang lain, itu bukan cara saya, ia bukan langkah yang betul untuk membangunkan pemain," katanya semalam.
Beliau berkata demikian sebelum memulakan hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan membuka tirai pada 13 Okt ini.
Skuad Harimau Malaya akan membuat penampilan di pentas Pestabola Merdeka 2023 bersama India, Tajikistan dan Palestin dari 13 hingga 17 Okt ini sebelum memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pada November dan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
-- BERNAMA