Pesilat negara tidak dibenar beri kenyataan

Astro Arena
Ogos 23, 2018 18:27 MYT
Mohd Al-Jufferi tidak dibenar memberi sebarang komen atas arahan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka). - Ganmbar fail
Mohd Al-Jufferi Jamari mengetuai kejayaan pesilat negara yang melepasi pusingan pertama, namun mereka tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengurangkan tekanan memburu sasaran tiga pingat emas dalam Sukan Asia 2018 di Padepokan Pencak Silat, Taman Mini Indonesia Indah, Jakarta.
Kelibat Al-Jufferi mencuri tumpuan apabila turun sebagai pilihan utama kategori Putra E Bawah70kg.
Juara dunia tiga kali itu tidak berdepan masalah menewaskan pesilat Filipina, Alvin Campos, 5-0 hari ini untuk mara ke pusingan kedua.
Bagaimanapun, dia tidak dibenar memberi sebarang komen atas arahan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).
"Alhamdulillah apa yang kami harapkan di peringkat awal berjalan lancar, anak-anak silat kami nampak selesa.
"Di atas kertas, taruhan kami seperti Al-Jufferi dijangka mara ke final.
"Para pesilat tidak dibenarkan bercakap dengan media agar tidak mengganggu fokus mereka semasa pertandingan," kata pengurus silat negara, Mohamad Mat Amin.
Silat menyasarkan tiga emas, sekali gus dijangka mampu menjadi lubuk emas kontinjen negara.
Ini kali pertama silat menyertai Sukan Asia dengan Malaysia, Indonesia dan Vietnam dijangka bersaing sengit merebut keseluruhan 16 pingat emas ditawarkan, masing-masing 10 dalam acara tanding, bakinya dalam seni.
#Jakarta-Palembang #Mohd Al-Jufferi Jamari #pencak silat #Pesaka #pesilat #Sukan Asia
;