Pesilat negara sedia berdepan pukulan, tendangan lebih ekstrem di Hanoi

Bernama
April 14, 2022 07:30 MYT
Pengurus Pasukan Silat Malaysia (PSM) Datuk Mohd Arpan Shari (tiga, kanan), Penolong Pengurus PSM Zaihan Mohd Isa (dua, kanan), Mazlan (tiga, kiri) dan Nasri Nasir (dua, kiri) bergambar selepas sidang media di Bukit Jalil semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kem pencak silat negara sudah bersedia melaksanakan misi membawa pulang tiga pingat emas meskipun sedar bakal berdepan cabaran apabila peraturan baharu dilaksanakan pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.
Jaminan itu diberikan jurulatih pencak silat negara Mazlan Shaari selepas melihat kemajuan anak buahnya dalam menyesuaikan diri dengan perubahan sebelum berpeluang menghadapinya ketika Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 di Singapura hujung Februari lepas.
Beliau berkata selepas pulang dari Singapura, barisan pesilat negara juga diberikan pendedahan secara menyeluruh mengenai peraturan baharu ketika mengikuti latihan intensif di Langkawi yang berakhir baru-baru ini.
"Ada perubahan yang saya buat yang mana kelemahan sewaktu Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 telah saya ubah kesemua tekniknya supaya kita boleh gunakan di Hanoi terutama bagi mengatasi cabaran Singapura dan Vietnam.
"Saya telah cuba yang terbaik sepanjang latihan dua minggu di Langkawi untuk perbaiki segalanya dan perubahan baharu ini atlet sudah dapat kuasai sepenuhnya," katanya pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil semalam.
Antara peraturan baharu itu ialah pesilat dibenarkan membuat pukulan dan tendangan lebih bebas terhadap pihak lawan termasuk menggunakan siku dan lutut kecuali pada tiga anggota badan iaitu kepala, lutut dan kemaluan.
Selain itu, mata jatuhan hanya akan direkodkan oleh ketua pertandingan manakala mata diberikan oleh barisan juri perlu mendapat persetujuan lebih daripada dua juri yang menyaksikan kini hanya tiga juri bertugas berbanding lima sebelum ini.
Peraturan baharu menjadikan pertandingan pencak silat lebih ekstrem, adalah nilai tambah yang tinggi kepada potensi sukan itu untuk dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik 2036.
Pada Sukan SEA Hanoi, pencak silat kembali menjadi antara jenis sukan menawarkan jumlah pingat emas tertinggi yang menyaksikan sebanyak 16 acara dipertandingkan berbanding hanya sembilan pada edisi 2019 di Filipina.
Kem pencak silat kebangsaan terdiri daripada 28 atlet, dijadual berlepas pada 8 Mei ini menyasarkan tiga pingat emas iaitu dua menerusi acara tanding dan satu bagi acara seni.
-- BERNAMA
#Mazlan Shaari #pesilat negara #Sukan SEA Hanoi #peraturan baharu
;