Pesanan terakhir ayah jadi azimat Khairul

Astro Arena
Jun 9, 2016 21:17 MYT
Khairul mahu merealisasikan impian ayahnya dengan mempamerkan panahan terbaik sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
"KATA-KATA terakhir arwah akan saya jadikan azimat untuk beraksi lebih baik di Turki," demikian luahan pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, mengenai pemergian ayahanda tercinta sebelum berlepas ke Kejohanan Piala Dunia di Antalya, Turki, semalam.
Walaupun masih sebak dengan pemergian ayahandanya, Mohamad Said, yang meninggal dunia akibat komplikasi hati pada Ahad lalu, Khairul tetap bersemangat untuk membantu pasukan negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016, Ogos ini.
Baginya, dia mahu merealisasikan impian ayahnya dengan mempamerkan panahan terbaik sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
"Saya sempat jumpa ayah saya dan berborak dengannya. Dalam perbualan dengannya dia ada bagi motivasi dan harapan terakhir. Dia cakap, tidak kira apapun yang berlaku hanya terus kekal fokus. Perkara itu saya pegang sampai sekarang," katanya.
Sementara itu, jurulatihnya Lee Jae Hyung, menganggap Khairul seorang atlet yang tabah dan fokusnya tetap teguh walaupun terpaksa berdepan dengan dugaan sebegini.
"Ayahnya sering memberi sokongan untuk Khairul. Khairul pun mempunyai semangat yang kuat," katanya.
Skuad negara akan berada di Antalya untuk menghadapi Kejohanan Memanah Piala Dunia dan ini adalah peluang terakhir mereka untuk layak ke temasya di Rio nanti.
Barisan pemanah negara yang akan beraksi dalam acara recurve berpasukan di Kejohanan Piala Dunia 2016 di Turki ialah Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin, Muhammad Akmal Nor Hasrin dan Muhammad Ikram Joni
#acara memanah #berita sukan #Khairul Anuar Mohamad #Olimpik Rio #pemanah negara #Sukan Olimpik
;