Pesaka, Persilat buat 'post-mortem' kemas kini peraturan kejuaraan pencak silat
Bernama
Ogos 1, 2022 11:03 MYT
Ogos 1, 2022 11:03 MYT
MELAKA: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) akan melakukan 'post-mortem' khususnya dari aspek peraturan sepanjang penganjuran Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 yang berlangsung selama enam hari bermula 26 Julai lepas.
Presiden Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata ia bagi memastikan penambahbaikan dapat dilakukan sekali gus mengemas kini peraturan sedia ada agar penganjuran bagi kejuaraan edisi ke-20 yang bakal berlangsung di Indonesia pada tahun depan berjalan lancar.
"Walaupun kita ada satu atau dua insiden kecil berlaku dan sedikit kontroversi tetapi pada saya jangan kita pandang apa yang berlaku menjejaskan keseluruhan perjalanan pertandingan.
"Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan penganjuran kejuaraan kali ini...kita berjaya membawa imej silat ke satu tahap yang cukup tinggi serta profesional dan memang akan menyukarkan untuk negara lain menjadi tuan rumah selepas ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 Tahun 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini lewat malam tadi.
Mengulas mengenai bantahan rasmi yang dilakukan beliau untuk memohon perlawanan semula antara pesilat negara Mohammad Khairi Adib Azhar dan atlet Singapura Aniq 'Asri Mohammad Yazid, Megat Zulkarnain berkata bantahan kepada Delegasi Teknikal Antarabangsa kejuaraan itu tidak akan diteruskan.
Beliau berkata keputusan yang dilakukan itu adalah wajar dan perlu diterima secara terbuka agar perjalanan majlis akhir kejuaraan antarabangsa itu tidak terganggu.
Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang berlangsung September ini di Kuala Lumpur akan menjadi platform bagi Pesaka mencari pelapis baharu untuk mewakili negara pada Sukan SEA di Kemboja dan Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-20 di Indonesia tahun depan.
"Sukma memang kilang untuk kita mencari pelapis baharu dan janji saya ialah kita akan datang dengan satu pasukan yang baharu dan ada sebahagian yang masih muda kalau mereka layak, mereka juga akan masuk dalam skuad silat negara," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana memperuntukkan dana RM1 juta untuk Pesaka bagi menghargai sumbangan yang diberikan oleh anak-anak silat dan membantu persekutuan itu mengembangkan seni silat di persada dunia.
"Saya terkejut kerana tidak memohon secara rasmi kepada Perdana Menteri tetapi saya fikir biarlah pemimpin sendiri menilai sejauh mana peranan yang boleh dimainkan Pesaka dalam membangunkan silat sebagai aktiviti budaya dan sukan," katanya.
Beliau berkata dana berkenaan akan diagihkan kepada 20 badan gabungan Pesaka di seluruh negara dan peruntukan itu juga akan digunakan untuk pengurusan pentadbiran.
-- BERNAMA