PES 18: Malaysia sah layak ke Sukan Asia

Mariah Ahmad
Jun 22, 2018 20:12 MYT
Sukan Asia 2018 bakal berlangsung pada Ogos nanti di Jakarta dan Palembang. - Foto Astro AWANI/Mariah Ahmad
Duo e-sukan Pro Evolution Soccer (PES), Mohamad NorHaikal Mohamad Noh dan Muhammad Khairul Abdul Aziz secara rasmi layak ke pertandingan demonstrasi e-sukan dalam Sukan Asia di Jakarta, Indonesia yang akan berlangsung Ogos depan.
Mohamad NorHaikal dan Muhammad Khairul berjaya menempah slot ke Sukan Asia itu selepas meraih kedudukan naib juara dalam saringan peringkat Asia Tenggara, yang berlangsung pada 10 Jun lalu.
“Pada mulanya kami berdepan dengan pasukan daripada Singapura dan menang 2-0. Kami mula mendapat keyakinan daripada perlawanan pertama itu.
“Namun kami tewas perlawanan kedua dengan Thailand sebanyak 0-2 dan laluan semakin sukar apabila kami perlu menentang Vietnam pada perlawanan seterusnya.
“Alhamdulillah, kami berjaya mengalahkan Vietnam 2-1 dan dapat rezeki ke Indonesia,” kata Mohamad NorHaikal ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sementara itu, Muhammad Khairul yang juga pemain nombor satu Malaysia berkata detik-detik mengalahkan pemain Vietnam pada peringkat Asia Tenggara itu memang tidak akan dilupakan.
“Vietnam mendahului pusingan pertama namun kami berjaya bangkit pada pusingan seterusnya.
“Masa itu, peluang untuk memang adalah 50-50 sahaja dan tak ramai yang meletakkan harapan pada saya kerana kurang pengalaman berbanding pemain Vietnam.
“Alhamdulillah, takdir Tuhan, saya rasa bagaikan mimpi bila dapat mengalakan pemain Vietnam,” katanya.
Mohamad NorHaikal dan Muhammad Khairul bakal berdepan dengan pemain dari beberapa negara Asia lain termasuk Vietnam, Indonesia, Jepun, Hong Kong, China, Kazakhstan, Iran dan Indonesia.
Pertandingan e-sukan PES bagi Sukan Asia itu menggunakan menggunakan format berpasukan BO3 (Best of 3) iaitu:
Perlawanan 1: 1 vs 1 (individu pemain pertama)
Perlawanan 2: 2vs2 (duo/co-op)
Perlawanan 3: 1 vs 1 (individu pemain kedua)
Selain PES, enam permainan video yang dipertandingkan dalam acara e-sukan dalam Sukan Asia di Indonesia adalah termasuk League of Legends (LOL), Arena of Valor (AOV), Clash Royale, StarCraft II dan Hearthstone.
Demonstrasi pertandingan permainan video itu adalah sebagai persediaan mempertandingkan pingat bagi acara e-sukan dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.
Sukan Asia 2018 bakal berlangsung pada Ogos nanti di Jakarta dan Palembang.
#mohamad norhaikal mohamad noh #Muhammad Khairul Abdul Aziz #pes #Pro Evolution Soccer #Sukan Asia
;