Peruntukan lewat MSN antara punca kegagalan Sukan Asia 2014 - Danyal

Bernama
Oktober 16, 2014 07:16 MYT
DANYAL: Peruntukan lewat MSN antara punca kegagalan Sukan Asia 2014 - Gambar fail
Kelewatan persatuan sukan mendapat peruntukan untuk membuat persiapan akhir atlet dikenal pasti antara punca kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran lapan pingat emas pada temasya Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan, baru-baru ini.
Ketua kontinjen negara Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata kelewatan peruntukan kewangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) memaksa beberapa persatuan sukan membatalkan program persiapan akhir atlet sebelum ke Incheon.
Beliau berkata masalah kekangan kewangan yang dihadapi oleh persatuan akibat kelewatan peruntukan menyebabkan atlet mereka gagal membuat persediaan rapi bagi menghadapi temasya sukan itu.
"Sukan seperti tenpin boling terlepas sasaran pingat emas kerana persatuan tidak dapat membuat persiapan yang secukupnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat post mortem Sukan Asia ke-17 di sini pada Khamis.
Malaysia mengakhiri cabaran di Incheon dengan membawa pulang lima pingat emas, 14 perak dan 14 gangsa.
Selain itu, Danyal berkata lokasi kem latihan akhir atlet di IOI Garden Resort, Putrajaya, adalah kurang sesuai kerana atlet terpaksa berulang alik dari tempat latihan di Kompleks Sukan Bukit Jalil.
"Atlet tidak dapat memberi fokus kepada program motivasi yang diadakan pada sebelah malam di kem latihan kerana atlet telah kepenatan setelah seharian menjalani latihan di Kompleks Sukan Bukit Jalil pada sebelah paginya," katanya.
Danyal berkata laporan penuh hasil mesyuarat post mortem itu akan diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dalam tempoh sebulan.
Katanya beliau perlu menyiapkan laporan dalam bentuk analisis kegagalan berdasarkan data-data daripada Institut Sukan Negara (ISN).
Selain pencapaian atlet, Danyal berkata ketiadaan pengurus pasukan sepak takraw bersama pasukan juga akan dimasukkan dalam laporan itu.
#Asia #Danyal #emas #KHAIRY #Malaysia #menteri #MSN #Perak #sukan
;