Peruntukan bukan masalah utama tetapi pencarian bakat atlet para - Hannah

Bernama
Oktober 30, 2023 07:45 MYT
Hannah bergambar bersama pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah kepada Pemenang Pingat Sukan Para Asia 2022 Hangzhou di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur, 30 Okt 2023. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Lebih tumpuan akan diberikan terhadap usaha pencarian bakat atlet para bagi memastikan Malaysia terus melebarkan penguasaan di pentas antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata bagi sukan para, pencarian bakat adalah masalah yang lebih membimbangkan berbanding soal peruntukan.
Beliau berkata masalah itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat akan datang dengan jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Kementerian Pendidikan (KPM).
"Untuk kumpulan atlet para, pencarian bakat kumpulannya agak kecil, sebab itu sekarang kita kena buat lebih banyak promosi untuk pastikan kanak-kanak atau orang muda yang mempunyai kad OKU (Orang Kurang Upaya) keluar dan beri peluang kepada diri mereka sendiri.
"Kita akan latih mereka supaya boleh mewakili Malaysia...kita mahu perkasakan ekosistem atlet para, dengan penambahan RM2 juta (Belanjawan 2024) untuk mereka, saya berharap kita boleh perkasakan lagi sistem sokongan untuk mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Hadiah Kemenangan Huawei kepada pemenang pingat Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, semalam.
Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pihaknya telah memulakan usaha memperkasakan pencarian bakat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).
Katanya selain sukan para sedia ada iaitu olahraga, tambahan lima sukan iaitu goalball, bola tampar duduk, berbasikal, renang dan boccia dicadangkan untuk diperkenalkan di setiap sekolah pendidikan khas di sini.
Selain itu, beliau berkata dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) dan KPM, sebuah sekolah sukan pendidikan khas di Bandar Baru Enstek, Sepang akan siap dibina menjelang 2025.
"Itu (sekolah sukan pendidikan khas) satu inisiatif MPM selama dua tahun setengah menjadi ahli MKBOKU. Semuanya sedang berjalan dan akan siap menjelang 2025. Tahun depan anda akan lihat rangk kerja yang kita akan buat dengan KPM," katanya.
Pada Sukan Para Asia Hangzhou yang melabuhkan tirainya Sabtu lepas, kontinjen Malaysia melepasi sasaran 35 pingat apabila membawa pulang keseluruhan 39 pingat merangkumi tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa berada di kedudukan ke-12.
-- BERNAMA
#atlet para #Hannah Yeoh #pencarian bakat sukan para #Megat D Shahriman Zaharudin
;